rap

Nizam Laksamana bukan sengaja cari penyakit

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Nizam Laksamana enggan ambil peduli dengan komen-komen negatif segelintir netizen yang menganggap dia  'sengaja cari penyakit' apabila meneruskan urusan persembahannya di Sabah, baru-baru ini.

Nizam, 54, kini perlu menjalani prosedur kuarantin selama 14 hari di rumahnya bagi memastikan sama ada dia bebas daripada dijangkiti pandemik Covid-19.

Ditambah, Sabah kini adalah negeri yang mencatat jumlah peningkatan Covid-19 tertinggi setiap hari di Malaysia.

Mengulasnya, Nizam berkata  sebagai ketua keluarga, menjadi kewajipannya untuk menerima tawaran menyanyi tidak kira di mana sahaja bagi mencari rezeki halal.

"Justeru, pada 23 September lalu saya ke Sabah kerana mendapat undangan menjayakan persembahan. Namun, yang pasti prosedur operasi standard (SOP) dilakukan agak ketat," katanya.

Akur dengan perintah kuarantin ditetapkan kerajaan, Nizam berkata dia nekad menerima undangan persembahan itu di atas alasan tersendiri.

"Nak cakap apa terpulang, asalkan saya tahu perlu pastikan atas meja di rumah saya ada makanan kerana tak mahu meminta-minta jika sudah tiada.

"Keperluan setiap kita tak sama dan kerja kita juga tak sama. InsyaAllah...Allah tahu niat saya," katanya.

Ujarnya, selama di sana dia amat mementingkan penjagaan  SOP diri bagi mengelak jangkitan virus Covid-19.

 

"Saya sentiasa pakai pelitup muka. Scan suhu badan, sentiasa sanitize tangan, mandi yang kerap serta jaga penjarakan.

"Tiap kali selesai menyanyi, saya terus balik ke hotel dan terus mandi. Sepanjang lima hari di sana, bacaan suhu tidak pernah melebihi 36.7,"  katanya.

Menurut penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta ini,  dia bersyukur kerana isterinya, Salwati Zulkifli, 45, serta anak-anak memahami keadaannya.

"Isteri sudah sediakan bilik untuk saya kerana saya perlu pastikan tiada sebarang sentuhan selama kuarantin di rumah dan saya mesti pakai pelitup muka.

"Saya berdoa agar semua keputusan yang bakal saya terima nanti negatif. Namun jika sebaliknya, saya reda untuk dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Nizam berkata, disebabkan kuarantin dengan 'gelang pink' itu, dia terpaksa membatalkan dua program yang sudah dipersetujui sejak awal di Kuala Lumpur dan Melaka.

Apapun, jelasnya dia bersyukur kerana bayaran persembahan diterimanya di Sabah itu secara tak langsung dapat menampung perbelanjaannya untuk keluarga selama tiga bulan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 3:46pm
    d