rap

Nabila serba-salah, ibu Neelofa sudah lali

Oleh Najiy Jefri

KAKAK kepada Neelofa, Noor Nabila mengakui serba-salah selepas memuat naik video di Instagram Story memaparkan PU Riz sedang bersembang dengan Neelofa disertai emoji hati, baru-baru ini.

Nabila berkata, dia tiada niat untuk mengundang spekulasi atau salah-sangka orang ramai.

"Emoji hati atau cinta yang saya kongsikan di Instagram Story itu hanyalah sekadar berkongsi rasa teruja pada majlis perkahwinan adik saya.

"Ia tidak bermaksud apa-apa pun, tapi orang luar sudah salah tafsir perkara itu. Pada majlis terbabit, PU Riz hanya diundang untuk membaca doa," katanya.

Menurut Nabila, dia menerima sesiapa saja lelaki yang menjadi pilihan adiknya termasuklah PU Riz.

"Tak kisahlah sama ada PU Riz, bekas teman lelaki atau sesiapa sahaja. Apa yang penting, saya nak lihat Neelofa gembira. Selain bahagia yang diperlukan, lelaki itu perlu bersama susah senang dengannya," katanya.

Nabila mengakui PU Riz seorang individu dan pengajar yang baik dalam berkongsi ilmu agama.

"Keluarga kami mula rapat dengan PU Riz sejak dia menjadi imam solat tarawih Ramadan lalu. Kami memang seronok belajar agama dengannya. Dia seorang ustaz (panggilan kepada PU Riz) yang kami boleh bergurau dan bertanya apa saja soalan.

"Kami senang dengan PU Riz dan secara tidak langsung saya yang kurang ilmu ini dapat belajar sesuatu daripadanya," katanya.

Sementara itu, ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed sudah lali dengan isu yang dikaitkan dengan anaknya itu.

"Saya sudah biasa dengan perkara ini. Neelofa pun sudah 10 tahun dalam dunia seni. Pada awalnya mungkin saya rasa pelik, tapi sekarang dah tak kisah pun, asalkan kita tahu siapa kita," katanya.

Ketika ditanya mengenai PU Riz yang sedang dikaitkan dengan anaknya, Kartini enggan mengulas lanjut.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalau boleh, saya tak mahu cakap atau sentuh perihal jodoh anak saya," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 3:15pm
d