rap

'Panic attack', Ropie tak boleh bersendirian

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak popular Ropie, 53, mengakui mengalami masalah 'panic attack' atau serangan panik yang serius sejak akhir-akhir ini.

Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin berkata, dia mula mengalami masalah itu sejak berusia 40 tahun dan gejala ini akan menyerangnya setiap kali dia bersendirian.

"Jika memandu, saya perlukan teman di sebelah. Itulah sebabnya isteri sering menemani saya ke mana-mana. Saya pernah pengsan di tepi lebuh raya. Ketika sedang memandu tiba-tiba tangan saya berpeluh. Macam-macam perasaan datang.

"Akhirnya saya ke hospital dan selepas dimasukkan air dan melakukan ujian darah, barulah semuanya okay," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran HSF Production(M) Sdn Bhd dan pengumuman filem sulung terbitan mereka berjudul Puteri Gunung Sengkuang di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Ropie yang popular dengan watak Nayan dalam filem Hantu Kak Limah berkata, dia akan menolak penggambaran yang tidak membolehkan isteri menemaninya.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang saya tak keluar ke mana-mana kerana kita hanya dibenarkan keluar seorang diri.

"Masalah 'panic attack' ini menyerang tak tentu masa dan rasanya ramai artis termasuk yang muda mengalami perkara ini. Doktor kata ia mungkin berpunca kerana penat, tak cukup tidur dan kolesterol tinggi," katanya.

Menurutnya, serangan panik ini datang secara tiba-tiba membuatkan badan berpeluh, jantung berdebar-debar dan perasaannya tidak stabil.

"Saya risau apabila melihat rakan-rakan artis yang meninggal dunia pada usia muda. Saya sebenarnya takut nak jumpa doktor. Sebagai alternatif, saya beli alat untuk ujian darah dan sebagainya," katanya.

Anak jati Taiping, Perak ini mempunyai tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan daripada perkahwinan dengan bekas isteri pertama.

"Mereka sudah dewasa. Insya-Allah bulan depan saya akan dapat cucu kedua. Isteri sekarang dikahwini pada 2016 dan kami belum dikurniakan anak," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 4:35pm
d