rap

Radhi kongsi pengalaman terbabit dengan dadah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA nak kongsi pengalaman ketika bergelumang dengan najis dadah kepada masyarakat. Apa yang nak dimalukan kerana inilah kehidupan saya sekarang kerana saya adalah seorang 'recovering addict'," kata penyanyi kumpulan OAG, Radhi mengulas pembabitannya sebagai penyampai radio dalam talian, Manthul FM.

Radhi atau nama sebenarnya, Mohd Radhi Razali, 43, berkata, pelancaran 'pop up' radio dalam talian itu akan berlangsung pada 10 Oktober ini untuk siaran pertamanya.

"Saya akan masuk studio di Cheras sebagai penyampai radio online yang mana saya boleh labelkan sebagai radio pemulihan pertama di Malaysia.

"Maksudnya radio ini adalah saluran yang betul untuk orang-orang yang dalam tempoh pemulihan (dadah) seperti saya.

"Saya akan bertugas pada awal pagi dan perbualan saya akan berkonsepkan santai," katanya yang ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran HSF Production(M) Sdn Bhd dan pengumuman filem sulung terbitan mereka berjudul Puteri Gunung Sengkuang di sebuah hotel di sini semalam.

Menurutnya, dia menyedari risiko akan berdepan dengan kecaman segelintir pihak. Bagaimanapun perkara ini langsung tidak menjadi kudis baginya.

"Saya tak takut dengan kecaman yang diterima sebab saya kena berterus-terang. Selama ini pun saya memang dah teruk kena kecam.

"Cuma, mana tahu dengan saya berkongsi ilmu, tempoh pemulihan saya akan sentiasa berterusan sekali gus tidak lagi berpatah balik ke masa silam. Saya juga mengalu-alukan rakan-rakan artis yang ada masalah sama untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya.

Menurutnya, perkongsian mereka boleh memberi motivasi serta nasihat kepada masyarakat.

'Kalau mereka terbuka untuk berkongsi, saya lagi suka. Selalunya, orang kita ada perasaan malu dan segan nak mengakui benda-benda ni.

"Contohnya, emak saya dulu pun malu dengan kawan-kawan dia semua, tetapi apabila kita berterus terang lagi mudah sebenarnya untuk kita 'move on'.

"Alhamdulillah, lama-lama emak saya dah dapat terima dan dia juga main peranan besar dalam tempoh pemulihan saya," katanya.

Selain Radhi, anak perempuannya, Aishah, 5, turut ditampilkan mengendalikan slot sendiri dinamakan 'Aishah Kecah' yang akan disiarkan menerusi platform Instagram dan YouTube.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:17pm
d