rap

Gandingan cukup menjadi!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

NAMA penyanyi Elda Susanti dan Azizul Haqim mungkin kurang dikenali sebahagian peminat muzik arus perdana tanah air.

Bagaimanapun, hakikatnya kedua-dua mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri dalam genre muzik tradisional dan etnik kreatif.

Buktinya gandingan mereka menerusi persembahan Opera Muzikal Benang Emas Gitulah Cinta yang berlangsung di Pentas Samudra Anjung Patin Ville, Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya memikat pengunjung yang hadir menjamu selera di situ.

Diiringi kumpulan pemuzik dinamakan Orkes Benang Emas (OBE), Elda dan Azizul menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular sekali gus membuatkan peminat turut sama menyanyi dan menari.

Elda tampil dengan lagu-lagu seperti Kasih, Wulan Merindu, Puja-Puja Kentrung dan Syantik.

Manakala Azizul pula menyanyikan lagu Pandangan Pertama, Asam Di Gunung Garam Di Laut, Kata Pujangga dan Serampang Laut.

Mereka turut berduet menerusi lagu Jeling Menjeling, Alah Emak Kahwinkan Aku dan banyak lagi.

Tidak keterlaluan dikatakan Elda dan Azizul berjaya menampilkan persembahan hebat dan perlu terus diberikan peluang beraksi dalam persembahan eksklusif begini.

Elda yang ditemui berkata, dia sentiasa terbuka untuk menerima persembahan berkonsep begini.

"Saya boleh menyanyikan pelbagai genre lagu dan akan menyanyikannya sekiranya ada permintaan. Walaupun sarat mengandung lapan bulan, saya tetap menghiburkan peminat. Berada di atas pentas buat saya lupa yang saya sedang mengandung," katanya yang sangat aktif di atas pentas.

Azizul pula mengakui agak jarang menjayakan persembahan di tempat terbuka seperti itu.

"Terima kasih kepada Samudra Anjung Patin Ville kerana sudi anjurkan program begini. Sebenarnya saya selalu diundang buat persembahan untuk majlis perkahwinan sekitar Kuala Lumpur. Permintaan untuk Orkes Melayu tradisional sememangnya tinggi tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia agak tergendala sedikit," katanya.

Sementara itu, Pengurus Benang Emas Entertainment, Syed Tawfik Syed Salleh berkata, persembahan ini ada kelainannya sendiri.

"Ia seperti sebuah opera muzikal yang setiap lagunya saling berkaitan mengikut jalan cerita. Saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menjemput kami mengadakan persembahan begini. Negeri Melaka akan menjadi tuan rumah Festival Budaya Dan Muzik pada tahun depan. Insya-Allah barisan artis dan pasukan saya akan tampil dalam program terbabit," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:30am
d