rap

Shuib boleh terus fokus sebagai penyampai radio

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAWAK dan pelakon popular, Shuib Sepahtu boleh terus memberi fokus kepada tugasnya sebagai penyampai Hot FM dan pengurusan stesen radio berkenaan tidak mengambil sebarang tindakan susulan Shuib dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram, semalam.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Tahrim berkata, pihaknya maklum mengenai perkara itu dan setakat ini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Shuib.

"Dia boleh fokus kepada kerja seperti biasa. Lagipun dia hanya dipanggil bagi membantu siasatan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Shuib dan isterinya yang juga penyanyi, Siti Sarah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.

Siti Sarah dipercayai selesai memberi keterangan kira-kira jam 5 petang semalam.

Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Music memaklumkan Siti Sarah hanya menemani Shuib hadir ke ibu pejabat SPRM.

Pihak Indigital Music juga memaklumkan bahawa kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak SPRM untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 2:33pm
d