rap

'Cuma mahu semuanya lancar'

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN pembabitannya dalam kerjaya seni sejak kanak-kanak, dari aspek dikenali peminat semestinya, penyanyi Azzam Sham agak ketinggalan.

Apatah lagi, sikapnya yang agak pendiam dan bersih daripada sebarang gosip serta cerita sensasi. Selain itu, Azzam juga fokus terhadap pelajaran.

Cuma, tahun lalu dia dilihat semakin aktif mengatur perjalanan kerjaya nyanyian selepas muncul dengan lagu Biar Saja yang menjadi lagu tema drama Setelah Ku Dimiliki.

Malah, Azzam juga menghasilkan lagu duet bersama teman wanitanya, Sheryl Shazwanie berjudul Jika Ini Takdirnya yang dilancarkan lima bulan lalu.

Kini, Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berhadapan debaran untuk persaingan kemuncak Big Stage 2020, malam ini.

Ditambah lagi, Azzam dikatakan bersaing sengit dengan Usop, untuk takhta juara musim ini. Mengulasnya, Azzam berkata, dia cuma mahu memberi persembahan terbaik.

"Sejak awal lagi, memang kebanyakan peminat membuat ramalan saya akan bertarung sengit dengan Usop. Namun, saya berserah pada rezeki.

"Paling utama bagi saya biarlah persembahan dibuat itu mampu memberi kepuasan sebenar kepada diri berikutan pentas Big Stage 2020 ini sangat besar buat bakat kecil seperti saya," katanya.

Menurut Azzam, pada konsert akhir itu dia akan menyanyikan dua lagu iaitu Aku Bidadari Syurgaku nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Grenade (Bruno Mars).

Berbicara mengenai Usop, katanya di antara mereka bersaing sihat. Dia dan Usop saling berusaha mempersembahkan bakat masing-masing.

"Kami berusaha memberi persembahan terbaik setiap minggu untuk menghiburkan penonton dan Usop memang ada aura tersendiri.

"Kemantapan vokal dan persembahan konsisten setiap minggu Usop memang tak dinafikan kerana barisan juri profesional juga mengakui kemampuannya.

"Bagaimanapun, pada konteks sekarang menang atau kalah memang saya tak fikirkan. Harapan saya, cuma mahu persembahan berjalan lancar," katanya.

Azzam turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya termasuk ibu bapa, keluarga dan pasukan gerak kerjanya yang ada bersama setiap masa.

Konsert akhir Big Stage 2020 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jam 9 malam yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Pemarkahan peserta pula akan dinilai barisan juri tetap iaitu komposer Ajai, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir serta penyanyi popular, Dayang Nurfaizah.

Selain Azzam dan Usop, tiga lagi peserta yang berentap di kemuncak Big Stage 2020 ialah Qody Rany, Dinie Rashid dan Fadh Majid yang masing- masing ada kehebatan dan strategi tersendiri.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 6:10am
d