rap

Mengharap tuah cubaan ketujuh

Oleh Syafil Syazwan Jefri

TIADA istilah putus asa dalam kamus kehidupan penyanyi yang juga ahli perniagaan, Ayu Damit.

Walaupun namanya dalam industri muzik tempatan tidak segah penyanyi lain, Ayu tidak pernah berhenti bekerja keras.

Setiap tahun, dia antara penyanyi yang sentiasa akan mencuba nasib menyertai program Gegar Vaganza (GV). Namun, rezeki belum berpihak kepadanya.

Tahun ini, pintu rezekinya dibuka dan nama penyanyi lagu Hanya Di Mercu ini tersenarai dalam 14 peserta program fenomena itu.

"Alhamdulillah, tahun ini saya diberi peluang menyertai GV musim ketujuh. Setiap tahun, saya menyertai uji bakat GV musim pertama sehingga musim keenam. Saya juga pernah sekali mencuba nasib pada uji bakat Gema Gegar Vaganza. Namun, semuanya gagal.

"Apabila tak dapat, ada rasa sedih dan kecewa juga. Namun, sepanjang saya berada dalam industri hiburan, saya belajar untuk tidak berputus asa dan terus mencuba," katanya.

Ditanya mengenai khabar angin mengatakan suami menghalangnya daripada menerima tawaran nyanyian di luar supaya lebih fokus kepada latihan, Ayu menolak dakwaan itu.

"Bukanlah dia menghalang atau suruh saya berhenti menyanyi di luar, cuma dia sentiasa ingatkan saya supaya beri tumpuan kepada latihan dan persiapan memandangkan peluang ini bukan datang setiap hari.

"Jadi, pihak Indigital yang menguruskan karier saya ada melantik Bob Yusof sebagai guru vokal. Walaupun Bob cakap saya sudah boleh menyanyi, saya perlu belajar banyak benda lagi untuk memantapkan persembahan," katanya.

Menurut Ayu, suaminya menjadi penggerak untuknya terus menjaga stamina.

"Setiap pagi, dia akan 'push' saya supaya bersenam padi awal pagi dan mengumpul stamina. Ini penting untuk memantapkan tenaga saya ketika membuat persembahan," katanya.

Bercerita mengenai cabaran yang bakal dilaluinya, juara program One in a Million (OIAM) musim kedua itu mengakui bimbang dengan genre yang bakal menjadi tugasan untuk konsert mingguan.

"Seperti yang ramai tahu, saya menyanyi di hotel dan selalunya, genre yang sering saya persembahkan adalah balada dan beberapa lagu Inggeris. Kalau lagu tradisional dan lagi dangdut pun, saya pernah persembahkan.

"Yang menjadi kerisauan adalah kalau ada tugasan untuk menyanyikan lagu hip hop atau rap. Itu tentunya akan menjadi cabaran buat diri saya," katanya.

Ayu berharap kemunculannya dalam GV7 akan diterima baik dan mendapat sokongan daripada peminatnya.

"Harapan saya, semoga mereka yang meminati saya sejak zaman OIAM akan terus menyokong dalam GV7. Saya dan semua peserta akan cuba memberikan persembahan terbaik," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 6:20am
d