rap

Harap terus istiqamah

Oleh Norhayati Nordin

Tindakan pelakon wanita berhijrah imej bukan perkara baharu dalam industri hiburan tanah air. Hingga kini, ramai pelakon wanita yang sudah berhijab seiring dengan tuntutan agama.

Jika sebelum ini, pelakon seperti Tash Yong dan Hannah Delisha membuat keputusan tampil berhijab, terbaharu pastinya pelakon Zara Zya, 35, yang kini cukup manis bertudung.

Zara yang sudah memendam hasrat untuk berhijab, mengakui sangat bersyukur apabila niat murninya itu menjadi kenyataan. Pun begitu, dia enggan berbicara lanjut mengenai perubahan itu.

"Saya masih lagi dalam proses belajar. Tiada apa yang nak dikongsikan mengenai perkara ini. Apatah lagi, saya tidak gemar untuk menghebohkannya bagi menarik perhatian.

"Apa yang saya harapkan kini ialah terus istiqamah. Semoga, Allah sentiasa memelihara hati saya untuk kekal berhijab selamanya. Terima kasih juga, doakan yang baik-baik," katanya.

Menurut pelakon drama Pia ini, dia bersyukur dapat menghabiskan penggambaran drama Beri Sedikit Waktu lakonannya sebelum bertudung sepenuhnya sejak seminggu yang lalu.

Biarpun mengambil pendekatan berdiam diri pada mulanya, namun perubahan imej Zara dapat dikesan melalui beberapa foto dimuat naik di Instagram termasuk kapsyen yang ditulisnya.

Mengikut kapsyen pada salah satu fotonya, Zara berkata masa lalu biarlah berlalu, sambutlah masa depan yang ceria, dengan memperbaiki diri kita yang sekarang. Ia menjelaskan lagi situasi sebenar.

Bahkan, ruangan komen pula dipenuhi dengan kata-kata semangat dan doa yang ditinggalkan kebanyakan rakan selebriti termasuk peminat yang mengikuti perkembangan Zara di media sosial.

Turut memaklumkan dia juga ada menolak beberapa tawaran drama yang kurang sesuai dengan imej bertudung itu, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengaku tidak ralat.

"Hati saya sudah nekad mahu berubah. Jadi, saya lakukannya kerana Allah sudah beri peluang itu. Saya sangat bersyukur dan jauh di sudut hati ini memang sudah sedia sepenuhnya.

"Insya-Allah, saya kini benar-benar inginkan masa depan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Malah, saya tak rasa sayang langsung untuk menjual pakaian lama dimiliki," katanya.

Sentiasa yakin pada rezeki, Zara juga tidak gentar sekiranya keputusan menutup aurat itu mungkin menjejaskan tawaran lakonan. Katanya, rezeki daripada Allah itu datang dalam pelbagai cabang.

"Melihatkan kepada pelakon lain yang sudah bertudung dan masih aktif dalam kerjaya seni mereka, saya yakin rezeki akan tetap ada. Apapun, dalam hal ini (rezeki) saya selesa positif," katanya.

Sehubungan itu, pembabitan Zara yang lebih sedekad dalam bidang lakonan hingga kini sudah meletakkannya pada tahap tersendiri. Walaupun tak beraksi di layar perak, lakonan Zara cukup mesra di kaca TV.

Banyak dramanya yang menjadi perhatian penonton seperti Love You Mr Arrogant, Tuan Anas Mikael, Cinta Hati Abah, Trauma, Monalisa, Terbaik Dariku, Kerana Anisa, Seadanya Aku dan Korban Kasih.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 6:30am
d