rap

Izwan ganti Linda

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BEKAS penyampai berita TV3, Izwan Azir Saleh dipilih menggantikan tempat penyampai, Linda Onn bagi segmen petang di Kool FM dari jam 3 petang hingga 7 malam dari Isnin hingga Jumaat.

Terdahulu, Linda yang cukup berpengalaman dalam bidang penyiaran di radio menamatkan kontraknya pada Ogos lalu. Justeru, kekosongan yang ditinggalkan itu belum berganti.

Rezeki menjadi milik Izwan dan dia mula bertugas di konti sejak semalam (Isnin) untuk membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya lebih santai.

Menurut Ketua Audiens Melayu, Kool FM, Shah Hayatudin, pemilihan Izwan yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan penyiaran dan penyampai berita di TV3 selama 16 tahun dilihat memenuhi kelayakan.

"Kami di Kool FM yakin dengan bakat Izwan untuk bersama-sama menguatkan lagi tonggak barisan penyampai sedia ada. Bahkan, ia juga bertepatan dengan konsep Kool FM yang memfokus isu semasa, sosial dan komuniti.

"Pihak Kool FM sangat gembira dan mengalu-alukan kedatangan Izwan dalam keluarga besar kami. Ini adalah satu penambahan yang baik untuk Kool FM kerana Izwan berpengetahuan dan mempunyai pengalaman luas.

"Dia juga diyakini mampu berinteraksi dengan baik bersama pendengar Kool FM bagi mengendalikan isu semasa dan permasalahan sosial dalam dan luar negara.

"Selain itu, kami juga sedia maklum menjadi penyampai radio adalah impian yang dicita-citakan Izwan sejak kecil. Dia sangat melihat pada peluang ini untuk bekerjasama," katanya.

Menurut Shah, dia juga percaya pembabitan Izwan itu seterusnya akan mengembangkan lagi stesen Kool FM.

"Kami akui kredibiliti dan kemampuan Izwan dalam industri ini akan menjadi satu pasukan lebih ampuh bersama AG, Haiza, Muaz dan Rea," katanya.

Izwan memulakan kerjayanya sebagai wartawan penyiaran pada 2002 dan menjadi penyampai berita di Buletin Utama, TV3.

Selain itu, Izwan juga pernah mengemudi rancangan bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) dan Soal Jawab.

Izwan juga pernah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program khas secara langsung ketika misteri kehilangan pesawat MH370 dan tragedi pesawat MH17.

Kekal menerajui segmen pagi di Kool FM ialah AG, Haiza dan Muaz yang akan menemani pendengar dengan mengetengahkan isu semasa nasional dan dunia merangkumi topik polisi, teknologi, sukan, gaya hidup, kesihatan serta isu komuniti bermula Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Meneruskan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi serta hiburan Kool FM, Rea pula muncul menemani pendengar di Kool FM dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Dari jam 7 hingga 8 malam pula, pendengar boleh merehatkan minda dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan menerusi Refleksi Kool yang dimuatkan dengan perkongsian pelbagai mesej.

Tidak terkecuali, diikuti kemudiannya pilihan seleksi lagu terbaik era 80-an, 90-an hingga terkini akan dimainkan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam yang pasti menghiburkan pendengar.

Sehubungan itu, kini Kool FM boleh didengari melalui frekuensi FM101.3 (Lembah Klang), FM90.2 (Pulau Pinang), FM93.6 (Kuala Terengganu), FM88.5 (Kota Bharu), FM107.3 (Alor Setar) dan FM104.3 (Kuching).

Malah, ia juga boleh didengarkan di MyTV menerusi saluran 722 atau secara streaming di www.koolfm.com.my dan secara langsung di YouTube Kool TV.

Jika terlepas lagi, Kool FM boleh didengarkan menerusi strim semula di Catch Up Kool FM

.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 6:21am
d