rap

Ashraf Muslim kecewa sikap sambil lewa segelintir pihak

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON dan pengacara, Ashraf Muslim menasihati semua pihak baik dalam kalangan atasan atau orang biasa supaya sentiasa memberi contoh dalam menangani penularan Covid-19 yang naik mendadak ketika ini di sini.

Ashraf yang juga bekas pesakit Covid-19 pada Mei lalu berkata, sikap sambil lewa segelintir masyarakat hari ini membawa kepada peningkatan kes secara mendadak sejak tiga hari lalu.

"Semua orang kena tunjuk contoh dalam perkara ini. Bukan orang atas saja, dalam keluarga pun kena beri contoh supaya orang sekeliling akan ikut.

"Kadang-kadang kita segan nak salam jadi orang laga tangan. Kena tunjuk dan biar orang faham dan disampaikan pada orang lain. Apabila kes semakin meningkat, risau sebab orang sambil lewa. Sebelum ini kita tengok angka makin kurang, jadi semua ambil kesempatan.

"Dulu masa awal-awal dulu orang nak sanitasi tangan setiap masa, nak jaga jarak, jarang keluar, tapi sekarang, apabila sudah lupa, sambil lewa, akibatnya sekarang kes naik mendadak," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ashraf, pengalaman dijangkiti wabak itu membuatkan dirinya sentiasa berhati-hati selain mengingatkan perkara itu di media sosial.

"Rasanya gelombang kali ini terlalu cepat. Ia bahaya untuk mereka yang tak kena. Apabila jadi macam ini semua kelam kabut. Sepatutnya dari awal sudah kena jaga.

"Saya dah pernah lalui dan rasa. Memang susah dan tertekan. Cuma saya bersyukur tak sakit sehingga dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi). Menerusi status di Instagram saya sebelum ini, siapa yang balik dari Sabah sebelum 27 September perlu kuarantin, tapi ramai tak buat. Mereka jumpa orang ramai, keluar sana sini. Pendek kata semua ambil mudah," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 5:05pm
d