rap

Kebas barang selebriti

Oleh Najiy Jefri

SIRI Star Stealer adalah drama komedi terbaharu dari Viu Original yang menemui penonton sejak 30 September lalu.

Bersiaran sebanyak 10 episod, jalan cerita dari Indonesia ini dikembangkan daripada idea pemenang Viu Pitching Forum 2019 iaitu Aaron Timothy dan Audry Wangko.

Star Stealer dibintangi Syafira Hadad, Roy Sasongko, Totos Rasiti, Willem Bevers, Clarine Clay, Claudy Putri, Shenina Cinnamom dan Dayu Wijanto.

Diarahkan oleh Andibachtiar Yusuf, Star Stealer mengisahkan pelajar kolej, Kania yang terpaksa mencuri barang milik artis bersama rakan-rakannya untuk membayar hutang bapanya.

Kisah Kania bermula ketika bapanya berdepan muflis, mengalami strok serta meninggalkan banyak hutang.

Hidup Kania yang selama ini dilihat sempurna kini berubah 360 darjah apabila terpaksa berhenti belajar dan bekerja bagi menyara keluarga.

Kania yang bekerja di sebuah pusat beli-belah bertemu pelbagai karakter manusia dan menemui teman baharu termasuk sekumpulan anak muda yang memberinya idea untuk mendapatkan wang dengan lebih pantas.

Pengarahnya, Andibachtiar atau lebih mesra disapa sebagai Ucup mengakui terpikat dengan jalan cerita siri Star Stealer yang mengangkat kisah tiga remaja yang gemar mencuri barang daripada idola untuk dijual kepada peminatnya.

"Ketika ditawarkan untuk mengarahkan siri ini saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya kerana jalan ceritanya cukup baharu dan segar.

"Malah, penceritaannya juga berbeza dengan filem pencurian lain yang mana Star Stealer boleh dikatakan cukup sederhana, tetapi memiliki potensi untuk dikembangkan menjadi satu tontonan menarik.

"Lebih membuatkan saya terpikat lagi adalah ketika ramai menganggap sesuatu barang yang tiada harganya, tapi sebenarnya mempunyai nilai sentimental yang mahal di hati orang lain dan boleh dijadikan sebagai satu perniagaan," katanya.

Bagi bintang filem Clairine Clay yang memegang watak sebagai Sani, dia menganggap watak yang dibawakan sebagai pekerja kantin sesuatu yang cukup menarik apabila Sani seorang wanita yang 'gila-gila'.

"Pusat beli-belah sudah menjadi rumah kedua untuk Sani. Ini kerana Sani suka bertemu selebriti atau idola hatinya di pusat beli-belah terbabit," katanya.

Kata Clairine, watak Sani yang dibawakan amat berbeza dengan kehidupan realitinya.

"Saya seorang yang pendiam di luar. Namun ada beberapa sifat Sani yang sama dengan saya dan membuatkan saya tidak kekok untuk membawakan watak Sani.

"Walaupun saya tidak begitu mengambil tahu mengenai perkembangan dunia artis, tapi menerusi siri ini saya sedaya upaya membawakan watak ini dengan baik," katanya.

Sementara itu, Claudy Putri pula mengakui watak yang dibawakan sebagai Endah amat menguji kemampuan dirinya sebagai pelakon apabila perlu menjadi wanita yang meminati muzik dangdut.

"Endah adalah wanita Jawa yang bermimpi menjadi penyanyi dangdut terkenal ketika berhijrah ke Jakarta. Namun sampai saja di Jakarta, dia hanya bekerja sebagai tukang cuci.

"Jujur watak yang dibawakan ini amat mencabar kerana saya tidak pernah bawakan sebelum ini. Ia memberi cabaran baharu kepada saya.

"Sebelum menjalani penggambaran tahun lalu, saya kerap ke pusat beli-belah dan melihat karakter dan penampilan tukang cuci supaya saya dapat menjayakan watak itu dengan baik," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga sering menonton YouTube untuk melihat penyanyi dangdut beraksi, sekali gus belajar cara bernyanyi dan bergelek.

"Apa yang boleh saya katakan, siri ini sebuah projek yang menyenangkan. Saya akui seronok dan gembira sepanjang penggambaran kerana semua pelakon dan kru produksi memberikan kerjasama baik," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 6:18am
d