rap

Copero Viper sebati dengan jiwa Zua

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PEMAIN bass XPDC, Zua meminta peminat supaya tidak mengaitkan kumpulan itu dengan album projek khas kumpulan Copero Viper yang kini berada di pasaran.

Zua atau nama sebenarnya Azuar Mat Tasi berkata, album berjudul Wali Pendekar itu adalah kesinambungan daripada album Viper terdahulu.

"Ia sudah terpendam sejak saya kembali menyertai XPDC. Sebenarnya ini adalah album ketiga Viper yang kini dikenali sebagai Copero Viper. Ketika saya sedang berkira-berkira untuk buat album ketiga, saya dan pemain dram, Amy dipanggil untuk bersama XPDC yang disertai Mael (penyanyi) dan Jeff (gitar).

"Peluang datang apabila Rockstage Entertainment memberikan peluang untuk Copero Viper merakamkan album. Dalam keadaan sekarang di mana tawaran persembahan pun belum ada, saya anggap ini rezeki," katanya.

Zua berkata, dia sebenarnya bermula sebagai penyanyi, namun beralih ke posisi pemain bass ketika menganggotai XPDC.

"Allahyarham JS Kevin meminta saya main bass dan saya akur. Namun, minat untuk menyanyi tetap ada sehinggalah lahir kumpulan Copero dan Viper yang kini digabungkan.

"Dengan album ini dapatlah saya keluarkan semua idea yang terpendam kerana dengan XPDC saya hanya sebagai pemuzik. Saya belajar semua perkara ini dengan JS Kevin yang mana juga adalah saudara saya," katanya.

Mengulas lanjut, Zua berpuas hati kerana Copero Viper meluahkan jiwanya yang sebenar.

"Muzik satu jiwa. Ketika bersama XPDC jiwa saya agak terkongkong kerana menghormati mereka. Bukan mereka tak bagi peluang tapi saya masuk XPDC apabila album sudah siap. Jadi saya kena menghormati mereka dan tak boleh langgar macam itu sahaja.

"Saya masuk pun kerana JS Kevin dan dia paksa saya main bass. Perasaan saya terbuku kerana menghormati mereka," katanya.

Zua juga mengakui agak selesa bersama Copero Viper berbanding XPDC.

"Apapun saya menghormati mereka walaupun jiwa saya berbeza. Saya korbankan semuanya demi kawan-kawan. Kalau diukur dari segi pendapatan tentulah lebih besar bersama XPDC, tapi jiwa orang seni berbeza dan kepuasan juga perlu.

"Namun jangan salah anggap kerana saya bukan merendah-rendahkan mereka. Saya menghormati mereka," katanya.

Selain Zua yang bertindak sebagai penyanyi dan pemain bass, Copero Viper turut dianggotai Lee (gitar), Wan (gitar) dan Amy (drum).

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 4:25pm
d