rap

Gbob dapat bantuan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KELUHAN isteri pelawak dan pelakon Gbob, Siti Aisyah Wahiddin berkenaan bantuan buat suaminya mendapat perhatian daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Timbalan Presiden Seniman, Zuraini Kassim dan Exco Agama dan Muafakat Seniman, Salman al-Farisi serta beberapa exco lain tampil mengunjungi Gbob di rumahnya bagi menghulurkan bantuan semalam.

Turut serta dalam kunjungan terbabit ialah wakil daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang hadir menyampaikan pencen ilat buat Gbob.

Zuraini berkata, pihaknya bersyukur dapat bersama Perkeso menunaikan hasrat membantu Gbob yang dalam kesusahan.

"Gbob adalah ahli Seniman serta pencarum Perkeso dan bantuan diberikan untuk dia meneruskan kehidupan seharian ketika dia dalam proses pemulihan.

"Dia layak menerima pencen ilat yang dibayar selama dia mengalami keilatan atau sehingga meninggal dunia. Perkeso mewujudkan Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri (Seni) di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kelengkapan yang disumbangkan pula adalah untuk kegunaan Gbob.

"Kami berikan lampin pakai buang, ubat-ubatan selama mana digunakan, kerusi roda, tongkat, kerusi tandas dan pembersih luka.

"Selain itu, barangan asas keperluan dapur dan perkhidmatan kaunseling proses pemulihan turut diberikan secara percuma untuk Gbob. Alhamdulillah, inilah kelebihan semua ahli Seniman yang membuat caruman Perkeso di bawah Persatuan Seniman Malaysia," katanya.

Gbob atau nama sebenarnya Mohd Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumahnya pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Doktor melakukan pembedahan di tempurung kepalanya bagi membuang darah beku dan membenarkan dia berehat di rumah untuk proses pemulihan.

Dia turut menjalani pembedahan memasang semula tempurung kepalanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 12 September lalu.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 1:26pm
d