rap

Zamani harap kesihatannya okay untuk konsert terbaru Slam [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 49, berdoa supaya tidak dibelenggu masalah kesihatan apabila mula membuat persiapan serta beraksi untuk konsert Slam Mentari Muncul Lagi pada 17 Januari tahun depan.

Konsert anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd ini akan berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Zamani yang menderita penyakit skoliosis iaitu tulang belakang melengkung berkata, dia sedang menjalani rawatan dan berharap dirinya pulih.

"Saya nampak ada perubahan berlaku, cuma bila mula berlatih dan kerja banyak tak tahu nak cakap bagaimana situasinya.

"Apapun saya kena lalui dulu semuanya dan tengok bagaimana perkembangannya dan harap semuanya okay. Buat masa ini saya banyak berehat di rumah dan memanglah semuanya okay. Apabila mula bekerja harapnya tiada apa yang berlaku," katanya.

Zamani berkata, pengalaman bersama Slam memberikan semangat luar biasa apabila beraksi di atas pentas. "Menyanyi solo lain dan apabila berkumpulan semangat memang berbeza. Kerjasama antara kami sangat penting.

"Orang bagi kepercayaan dan masing-masing kena berikan persembahan yang baik. Saya juga tak nak jadi penyumbang kecacatan persembahan kami. Menerusi kerjasama sebagai satu pasukan hasilnya pasti terbaik," katanya.

Sementara itu, pemain gitar Slam, Shah berkata, mereka berani mengambil tawaran itu kerana yakin dengan kemampuan Zamani.

"Kami ada pengalaman dengan Zamani yang semakin menuju ke kemuncak konsert, persembahannya semakin mantap. Kami pernah buat persembahan di Singapura dan ketika semua yang lain sudah penat beraksi hampir tiga jam, nyanyian Zamani pula makin sedap. Inilah keistimewaan yang terdapat pada Zamani," katanya. Shah berkata, mereka tetap menyediakan pelan tersendiri bagi membolehkan Zamani berehat ketika persembahan berlangsung.

"Kalau sekiranya tengok dia tak okay, kami akan bagi dia rehat sekejap dan isi program dengan slot lain. Itulah yang mampu kami tolong. Kami dah lama dengannya dan faham Zamani. Kami tahu keadaannya dahulu dan sekarang," katanya.

Konsert bakal diadakan dalam keadaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat ini menawarkan tiket berharga RMM700, RM360, RM260, RM200, RM160 dan RM130. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi www.myticket.asia.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 5:21pm
d