rap

Achey, Nabil sumbang RM15,000 untuk penyelidikan kanser payudara

Oleh Najiy Jefri

PELAWAK popular, Achey dan Nabil Ahmad menghulurkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Makmal Penyelidikan Kanser Universiti Putra Malaysia (UPM)- Majlis Kanser Nasional (Makna) (CANRES).

Sumbangan itu diberikan bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut pada Oktober setiap tahun.

Achey berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasamanya bersama syarikat pengeluar minyak wangi SugarBomb.

"Asalnya idea untuk buat CSR ini tercetus daripada Nabil. Apabila saya tahu sumbangan itu untuk disalurkan untuk kegunaan penyelidikan kanser payudara, saya terus bersetuju memandangkan ahli keluarga sendiri pernah menghidap kanser itu.

"Saya melihat sendiri ibu saudara bertarung dengan penyakit ini sehingga dia meninggal dunia pada 2013," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan cek kepada CANRES.

Hadir sama, Pengurus Besar SugarBomb, Kanumbu Agussalim dan Pengarah Institut Biosains UPM, Prof Dr Zunita Zakaria. Bagaimanapun, Nabil tidak dapat hadir pada majlis itu atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Achey, dia juga berharap dengan sumbangan itu dapat memperkasakan kajian mengenai penyakit yang menjadi pembunuh senyap khususnya dalam kalangan wanita.

"Saya tahu lelaki juga berisiko untuk dapat kanser payudara, tapi kesedaran tak sampai kepada masyarakat. Sebenarnya peratusan risiko menghidap kanser sama sahaja tanpa mengira jantina," katanya.

Semua sumbangan itu adalah hasil sebahagian jualan daripada produk Sugarbomb X Achey dan Edisi Sugarbomb X LuP'K.

Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia disambut setiap tahun pada bulan Oktober dan turut dinamakan sebagai 'Pink Oktober'.

Sambutan itu bagi memperingati dan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara di persada dunia.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 4:03pm
d