rap

Berkasih anak tuan hotel

Oleh Susunan Norhayati Nordin

SELAIN hubungan cinta penyanyi dangdut, Lesti Kejora dan pelakon, Rizky Billar menjadi perhatian ramai di Indonesia, kisah keluarga penyanyi dan komposer, Anang Hermansyah juga sentiasa mendapat liputan media.

Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada saja cerita terkini mengenai keluarga Anang bersama isteri, penyanyi Ashanty dipaparkan. Begitu juga, kisah peribadi dua anaknya.

Jalinan kasih dibina Aurel Hermansyah, 22, dengan bakal suami yang juga YouTuber terkenal Indonesia, Atta Halilintar, 25, bukan lagi rahsia. Ditambah, mereka dalam perancangan perkahwinan.

Pun begitu, bagaikan tidak mahu 'kalah' dengan populariti diraih Aurel ketika ini, seorang lagi anak Anang bersama bekas isteri, Krisdayanti iaitu Azriel Hermansyah, 20, tidak kurang hebatnya dalam perhubungan.

Azriel yang sebelum ini kurang mendapat perhatian media, sekarang namanya melonjak mendadak selepas didakwa menjalin cinta dengan anak gadis pemilik hotel di Bali.

Semuanya mula terungkap apabila Anang sekeluarga bercuti ke rumah miliknya di Bali. Ia secara tidak langsung, memberi peluang Azriel bertemu kekasihnya dikenali Sarah Menzel.

Menerusi laporan media Indonesia yang diambil melalui paparan video di saluran YouTube, The Hermansyah A6 ada memuatkan perjalanan Azriel ditemani Ashanty ke rumah keluarga Sarah dengan menaiki helikopter.

Azriel berkata, dia bersama ibunya, Ashanty mahu mengambil Sarah di rumah untuk dibawa keluar bersiar-siar bersama helikopter bagi menikmati pemandangan alam semula jadi yang indah.

"Sekarang, saya sudah ada di rumahnya untuk menjemput dia (Sarah) keluar bersama. Ada ibu juga bersamaku dan ini satu kejutan buatnya.

"Dia tidak tahu, saya mahu mengajaknya keluar dengan menaiki helikopter ini. Bersama kami, menikmati keindahan alam dan ke destinasi pilihan untuk jalan-jalan," katanya.

Dilihat ikhlas berhadapan ibu bapa kekasihnya bagi meminta izin, Azriel juga bertanya kepada Sarah mengenai sifat beraninya pada ketinggian apabila mereka berada dalam helikopter.

"Kamu berani dan tak takut ketinggian kan?" katanya.

Kata Sarah pula, dia tak pasti sama ada takut atau tidak, namun lihat saja.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dilihat cukup mesra.

Apapun, menariknya mengenai personaliti Sarah itu, selain memiliki rupa paras yang cantik dan mempesona, dia juga lahir daripada keluarga kacukan Jerman dan Indonesia.

Sarah berasal dari Bali dan keluarganya adalah pemilik hotel mewah di kepulauan terkenal itu.

Malah, Ashanty juga dikatakan mempunyai cita-cita untuk membina empayar perniagaan hotel di Bali, jika berpeluang.

Bagaimanapun, semuanya dalam perancangan memandangkan apa yang utama kini ialah persiapan perkahwinan Aurel dan Atta yang dijangka dilangsungkan tidak lama lagi.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 6:43am
d