rap

TV Sarawak rakan strategik Finas

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersetuju menerima TV Sarawak (TVS) sebagai rakan strategik dan akan membiayai penerbitan karya terbitannya melalui inisiatif Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana).

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan Bilangan 8 yang  dipengerusikan beliau hari ini.

"Selain itu, Finas juga akan meneruskan kesinambungan kejayaan Program Finas Prihatin melalui pelaksanaan Finas Prihatin 2.0 dengan sasaran menyantuni 50 lagi penggiat industri.

"Finas juga akan mengatur perjumpaan dengan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk memudahkan lagi urusan berkaitan penggambaran filem terutamanya bagi syarikat produksi yang menerima manfaat Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI)," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut Zakaria, Finas juga akan mengaturkan satu sesi pertemuan bersama Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam masa terdekat bagi membincangkan garis panduan penerbitan kandungan kreatif selari dengan situasi norma baharu pada masa kini.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 8:32pm
d