rap

'Maaf' lonjak karier afif

Oleh Georgie Joseph

Kian rancak merencana karier seninya, penyanyi Afif Tirmizie, 34, kini tampil dengan lagu pertaruhan terbaru berjudul Maaf. Sekali gus, dia meneruskan legasi dalam penghasilan lagu apabila 'Maaf' dijadikan runut bunyi drama Perempuan Tanpa Dosa arahan Michael Ang.

Selari dengan plot cerita drama itu sendiri, begitulah corak penyampaian Afif dalam lagu Maaf yang mana tidak lain menyentuh mengenai kemaafan. Berbekalkan lirik penuh emosi, mesej yang ingin disampaikan adalah setiap manusia pasti melakukan kesilapan.

"Bezanya, adakah kita sang pendosa sedia untuk meminta keampunan dari lubuk hati? Cerita dalam Maaf berkenaan situasi tengah bersalah, tengah berdosa, tak kisah kepada siapa, kepada kekasih, isteri, ibu bapa, atau orang tersayang.

"Tapi daripada perspektif saya, si lelaki meminta maaf kepada kekasihnya disebabkan sudah berulang kali melakukan silap. Kesilapannya seperti curang, abaikan perempuan itu, dan hal lain. Meskipun perempuan itu sudah cukup baik, sempurna, lelaki itu tetap buat hal.

"Ketika meminta maaf ini dia sudah sedar tapi masih dihantui kesilapannya yang dulu. Dia memang memohon maaf sepenuhnya di atas segala kesalahan yang pernah dia lakukan sebelum ini," katanya.

Menurut Afif lagi, mesej yang ingin disampaikan adalah sesetengah orang sukar untuk mengucap kata maaf meskipun memang tahu dirinya bersalah.

"Tapi dalam apa jua keadaan, sebaiknya mohonlah kemaafan itu untuk berbaik. Setiap manusia melakukan kesilapan tapi minta-maaflah bagi menjernihkan sesuatu perhubungan," katanya.

Menyentuh proses pembikinannya, Afif mengakui kekangan terbesar adalah daripada segi masa selepas produksi drama terbabit menghubunginya untuk lagu itu. Bagaimanapun, dia bersyukur hasil akhirnya dapat disiapkan pada tahap sangat memuaskan.

Ujar Afif, dia sanggup bersengkang mata demi menyiapkan lagu Maaf.

"Lirik dan lagu saya hasilkan sendiri. Idea dan inspirasinya tercetus selepas saya melihat satu kejadian depan mata yang tular. Proses menghasilkannya tidaklah lama sangat untuk nak siapkan lagu ini. Sekejap saja.

Pelakon Kamal Adli yang bertanya ada tak lagu boleh diguna pakai untuk drama Perempuan Tanpa Dosa, kemudian saya siapkannya dalam masa lima hari. Bahagian paling susah tentu sekali masa yang diberikan kerana agak singkat," katanya.

Afif bagaimanapun bersyukur urusannya dipermudahkan dengan bantuan pasukannya Payung dan Pedang. Mereka bertungkus lumus untuk siapkan dari petang sampai ke pagi di studio.

Mempertaruhkan melodi mendayu dan sarat emosi, Afif mengakui dia bersyukur sudah mempersiapkan diri mencurahkan sepenuh tenaga dalam melunaskan lagu berkenaan. Baginya, dia memiliki kelebihan dari sudut itu memandangkan ia hasil tangannya sendiri.

"Untuk saya salurkan emosi dalam lagu ini, rasanya tak berapa susah kerana ia hasil ciptaan sendiri. Saya sudah dapat gambarkan ceritanya dan apabila menyanyi, penghayatan saya sampai seperti apa yang dibayangkan.

"Banyak perkara yang saya boleh kaitkan sewaktu menyanyikannya lagu Maaf dan berharap pendengar akan terkesan dengan mesej disampaikan," katanya.

Drama Perempuan Tanpa Dosa dibintangi Kamal Adli, Uqasha Senrose dan ramai lagi. Ia ditayangkan menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria sebanyak 28 episod, pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 6:55am
d