rap

Media sosial juga yang salah...

Oleh Agensi

Bintang Keeping Up With the Kardashians, Kris Jenner, 64, menyalahkan kewujudan media sosial punca program berkenaan terpaksa ditamatkan baru-baru ini selepas 14 tahun bersiaran.

Menurutnya, sewaktu memulakan program itu pada 2007, penonton teruja menantikan episod seterusnya. Namun, ia berubah selepas perkembangan aktiviti keluarganya mudah diakses menerusi media sosial.

"Sewaktu baharu bermula, Instagram, Snapchat, dan platform media sosial lain tidak wujud. Dunia sudah berubah, penonton tidak perlu tunggu tiga ke empat bulan untuk menonton satu episod.

"Kami boleh bagi segala maklumat yang mereka ingin tahu mengenai kehidupan kami," katanya.

Bagaimanapun, ibu kepada Kylie, Kim, Kendall, Khloe, dan Kourtney itu tidak menafikan media sosial sangat membantu mereka dari sudut perniagaan. 

"Media sosial adalah platform paling pantas dan mudah dikendali untuk menyebarkan mesej. Pengguna dapat melihat produk yang sedang diusahakan anak-anak saya serta maklumatnya dengan mudah.

"Saya sendiri pun teringin untuk keluarkan jenama sendiri juga pada masa hadapan. Bagaimanapun, saya sangat sibuk dan biarlah simpan dalam hati dulu niat itu," katanya.

Keluarga berkenaan sememangnya terlalu popular di media sosial terutama Instagram. Kylie paling ramai pengikut iaitu lebih 198 juta diikuti Kim (190 juta), Kendall (140 juta), Khloe (120 juta), Kourtney (102 juta), dan Kris sendiri 36.9 juta.

 

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 1:13pm
d