rap

'Biar penganjur buat keputusan'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Ini sebenarnya urusan penganjur untuk memutuskan tindakan seterusnya dan juga bergantung kepada keputusan kerajaan.

"Kami ikut apa kata mereka. Tapi, apa yang kita bayang dan mahukan ialah kalau boleh biarlah konsert diteruskan,".

Demikian kenyataan Datuk Awie mengulas kemungkinan Konsert Cinta Buatan Malaysia Search & Awie #Apologia yang bakal berlangsung pada 12 Disember nanti bakal ditangguhkan sekali lagi.

Situasi ini berkemungkinan boleh terjadi apabila melihat pada peningkatan kes pandemik Covid-19 yang semakin bertambah dan tidak menunjukkan tanda penyusutan.

Terdahulu Awie dan kumpulan Search sepatutnya beraksi menerusi Konsert Apologia Search & Awie di The Bee, Publika pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun konsert ini ditunda sebagai langkah keselamatan semua pihak ekoran penularan wabak Covid-19 dan dijenamakan semula dengan nama Konsert Cinta Buatan Malaysia Search & Awie #Apologia.

Awie berkata, sekiranya terpaksa ditangguhkan lagi ia bermakna sudah dua kali mereka berbuat demikian.

"Peminat pun dah beli tiket dan tak seronok rasanya kalau tangguh lagi konsert ini. Seeloknya, kita doakan yang baik-baik agar Covid-19 ini segera berlalu dengan selamat dan negara kita pulih semula dalam masa terdekat ini.

"Kita sama-sama jaga keselamatan negara kita. Sama-sama juga, kita jaga kita supaya dapat kami tunaikan janji pada mereka yang sudah membeli tiket," katanya kepada Harian Metro.

Awie berkata, dia dan anggota Search sememangnya bimbang dengan penularan Covid-19 yang makin melampau.

"Kebimbangan memang ada tapi kami juga berharap jangan ditangguhkan lagi. Penat sebenarnya untuk kami berlatih.

"Tambah lagi ada anggota kami tinggal di Johor, Seremban, Rawang dan Sungai Buloh. Bayangkan jauh mereka nak datang berlatih untuk berikan kepuasan kepada peminat, tiba-tiba kena tunda lagi.

"Kami faham, dalam masa sama kena jaga keselamatan. Namun sekiranya konsert ini jadi berlangsung, kami akan ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan kerajaan," katanya.

Menurutnya, mereka akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjaga tertib SOP.

"Saya minta janganlah ditangguhkan lagi. Kalau ikut jadual latihan kami akan bermula esok (19 Oktober). InsyaAllah kami akan ikut jadual tapi dalam masa sama kami tunggu juga keputusan dari kerajaan.

"Jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperketatkan lagi, memang agak payah untuk buat latihan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 9:53pm
    d