rap

Pertolongan kecil Hans Isaac, tapi besar untuk orang lain

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur : "Kadang-kadang, tindakan kecil kita boleh memanfaatkan orang lain".

Itu yang dikongsikan pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Hans Isaac menerusi Instagram dan disertakan dengan tangkap layar komen daripada individu di Facebook yang terhutang budi dengannya.

Individu yang menggunakan nama Ly Dain di Facebook itu memaklumkan Hans pernah memberinya wang tips selepas dia bermain golf.

Menurutnya, dia berterima kasih dengan Hans kerana wang itu digunakannya untuk mengisi petrol motosikal dan membolehkan dia pulang melawat ibunya yang ketika ini sudah meninggal dunia.

"Dulu Datuk ada bagi tips kepada saya selepas Datuk habis bermain golf. Duit tips itu saya jadikan modal untuk isi minyak motor, jadi dapatlah saya balik ke rumah untuk melawat arwah mak saya.

"Waktu itu, tengah bulan, tengah kering poket. Terima kasih banyak-banyak ya. Semoga Tuhan memberkati kebaikan Datuk," tulisnya.

Dalam hantaran itu, Hans berkata, tujuannya berkongsi perkara itu bukanlah untuk mendapat nama, sebaliknya sebagai contoh untuk orang lain melakukan kebaikan.

"Saya kongsikan hantaran ini bukan untuk mengambil kredit, tetapi sebagai contoh berguna supaya kita sentiasa ingat bahawa sesetengah orang diuji dengan ujian lebih berat dan tidak pernah mensia-siakan kehidupan," tulisnya.

Dia juga mendoakan segala kesulitan individu itu dipermudahkan.

"Saya sendiri tak sedar apa yang saya buat, tapi terima kasih kerana berkongsi (pengalaman). Saya doakan semoga kasih sayang Allah akan memudahkan kesulitan anda dan Dia akan permudahkan urusan anda selepas pemergian mak. Salam," tulisnya.

Hantaran Hans di Instagram itu menerima lebih 10,000 tanda suka dan lebih 200 komen daripada pengikut-pengikutnya.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 5:41pm
d