rap

Achey ada 28 motosikal

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Minat mendalam terhadap motosikal membuatkan pelawak Achey mempunyai banyak koleksi motosikal pelbagai jenis.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 34, berkata, setakat ini dia memiliki hampir 28 buah motosikal pelbagai jenis walaupun sebahagiannya sudah dijual.

Apa yang menarik, kebanyakan motosikal itu adalah barang cagaran individu yang membuat pinjaman wang dengannya.

"Punca motosikal saya jadi banyak sebab orang datang kepada saya kata 'Achey nak pakai RM500, tapi aku tak ada benda nak ganti, aku ada motor'. Apabila sudah okay, mereka kata nak ambil semula, tapi rata-ratanya tak ambil pun. Saya pula yang pening kepala. Saya tengok ada motosikal yang 'rare', jadi saya ambil dan baiki. Itu yang jadi banyak," katanya. 

Menurut Achey, sebahagian motosikal yang sudah dibaik pulih dijual untuk dijadikan modal ketika ingin membeli rumah.

Katanya, dia juga  terpaksa menyimpan motosikal itu di beberapa tempat berasingan kerana sudah terlalu banyak.

"Ada yang disimpan di kampung dan beberapa tempat lain. Antaranya saya ada empat buah motosikal jenis Modenas Kriss dan tiga SYM. Motosikal yang ada pun bukanlah motosikal berkuasa tinggi. Saya lebih kepada motosikal untuk sukan lasak," katanya.

Sebelum ini, Achey memang dikenali dengan aktiviti sukan permotoran sehingga pernah menerima anugerah Ikon Permotoran Viral.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 5:17pm
d