rap

Ain Edruce hamil?

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selepas memuat naik video menari di dapur hingga menampakkan 'baby bump' di perut, pelakon dan pengacara Ain Edruce, 29, didakwa hamil oleh segelintir pengikutnya di Instagram.

Bagaimanapun, pengacara program Immortal Songs itu ketika dihubungi enggan mengesahkan sama ada dia hamil atau tidak.

"Saya taknak komen apa-apa lagi. Namun, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang  sudah mendoakan baik- baik buat saya dan suami. Sampai masanya, saya akan berkongsi. Sekarang fokus saya masih lagi pada kerja. Alhamdulillah, rezeki saya makin bertambah selepas berumah tangga," katanya kepada Harian Metro.

Ain berkata, semua pasangan yang berkahwin pasti selalu berdoa semoga dikurnia cahaya mata. Begitu juga, dia dan suami turut mengimpikan memiliki anak.

Ditanya mengenai kecaman daripada segelintir netizen terhadap video tarian berkenaan, Ain berkata, dia tak ambil tahu dengan komen-komen berbaur negatif.

"Saya selesa hanya dikelilingi aura positif. Jadi, benda-benda yang negatif seperti komen ditulis dengan bahasa kurang manis, memang saya tak layan. Saya tak mahu rasa tertekan. Siapa tak sedih apabila membaca komen-komen yang kesat. Jadi, tidak mahu fikiran saya terganggu dan sakit hati, maka abaikan saja. Biarkanlah mereka dengan komen-komen itu," katanya.

Menurut Ain, dalam situasi sekarang wajar untuknya menjaga kesihatan diri berikutan kes jangkitan Covid-19 ketika ini semakin meningkat. Lebih baik dia utamakan norma baharu dalam kehidupan.

"Ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) ditetapkan walau di mana saja berada, jangan rentas daerah dan negeri serta duduk di rumah saja sekiranya tidak ada urusan kerja yang penting di luar. Jangan lupa pakai selalu pelitup muka, jaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan sabun seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Ain yang juga popular dengan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) di TV3 berkahwin dengan Amirul Hafiz pada 13 Disember tahun lalu selepas enam bulan mereka bertunang.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:05pm
d