rap

Kehilangan masih terasa

KEMATIAN pelakon Chadwick Boseman pada 28 Ogos lalu akibat kanser usus masih berbekas di hati anggota produksi filem adiwira popular, Black Panther.

Mereka yang masih bersedih belum memikirkan perancangan untuk menghasilkan sekuel filem terbabit.

Pelakon, Letitia Wright yang membawa watak Shuri dalam filem itu berkata, dia sendiri belum memikirkan berkenaan sekuel Black Panther.

"Berfikir untuk menggarap sekuel Black Panther tanpa Boseman terasa aneh. Kami masih bersedih ketika ini, jadi kami cuba mencari cahaya di tengah kegelapan," katanya dalam satu temubual.

Dalam Black Panther, Boseman membawa watak utama sebagai King T'Challa dari Wakanda yang juga adiwira Black Panther.

Black Panther turut muncul dalam filem Captain America : Civil War, Avengers : Infinity War dan Avengers : Endgame.

Tahun lalu, Presiden Marvel Studio, Kevin Feige, mengesahkan mereka akan menghasilkan sekuel Black Panther.

Ryan Coogler pula dikatakan kembali ke kerusi pengarah dan penulis skrip filem ini.

Coogler turut memaklumkan sekuel Black Panther akan memberi fokus kepada watak King T'Challa.

Ia akan memaparkan pemerintahan King T'Challa dan cara ia menyesuaikan diri dengan takhta.

Boseman sebelum itu merahsiakan penyakit kanser itu dari Marvel Studios bagi membolehkannya membintangi Black Panther 2.

Black Panther adalah filem adiwira paling laris sepanjang zaman apabila mencatat kutipan lebih AS1.3 bilion (RM5.6 bilion).

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 6:24am
d