rap

Lagu Cinta Kita, program realiti berbeza

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur :Program Lagu Cinta Kita bakal bersiaran untuk musim kedua (LCK2) dalam dimensi lebih berbeza mengikut norma baharu bermula 8 November ini, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Berbanding musim pertama yang disiarkan menerusi YouTube, kali ini LCK2 dibawa ke kaca TV dan pastinya lebih hangat dengan barisan panel artis sebagai juri, persembahan jemputan dan pengendali segmen khas.

Penerbit Eksekutifnya Muhammad Sufian Che Isa berkata, LCK2 bakal menjadi program yang mengetengahkan pendekatan berbeza berlandaskan norma baharu sekarang.

"Ia tidak sama dengan program realiti sebelum ini. LCK2 akan membawa dimensi baharu dalam penerbitan program realiti dengan mengikut situasi semasa yang kita lalui. Ini juga pertama kali program realiti menampilkan panel-panel cinta dan bukan sekadar melihat nyanyian serta komen juri. Panel cinta itu akan mengupas, berkongsi pengalaman kepada pasangan atau yang bakal bercinta.

"Merekalah akan mengendalikan segmen itu dan disebabkan itulah kami memanggil hos-hos jemputan yang dominan antaranya Azwan Ali, Michael Ang dan lain-lain," katanya.

Diadaptasi daripada program popular CJ ENM, Love At First Song, program cari jodoh menerusi muzik itu bakal menampilkan Elly Mazlein sebagai hos tetap. Dia turut bergandingan dengan pasangan hos berlainan iaitu Michael Ang dan Azwan Ali.

Sementara, Hael Husaini pula dikekalkan sebagai juri tetap dan bakal disertai Mas Idayu. Seorang juri jemputan turut menemani mereka pada setiap episod yang akan menjadi panel cinta.

Pada musim pertama, Lagu Cinta Kita menobatkan Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan sebagai juara. Keserasian yang wujud antara sekali gus membibitkan perasaan cinta sehingga ke jinjang pelamin dan berkahwin pada 25 Julai lalu.

Pencarian peserta LCK2 berlangsung secara atas talian pada 1 hingga 15 Oktober. Ia bakal menampilkan 36 peserta yang akan dipadankan menjadi 18 pasangan duet.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 5:10pm
d