rap

Iman Troye tak sangka

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi baharu, Iman Troye, 18, menyifatkan rentak lagu baharunya berjudul Teman yang boleh meredakan tekanan menjadi faktor ia mendapat tontonan lebih 1.7 juta tontonan di YouTube.

Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin berkata, jumlah itu adalah tulen dan tiada unsur manipulasi data.

"Sebagai pendatang baharu, saya sangat tidak sangka dengan sambutan luar biasa itu. Pada saya, sambutan itu mungkin disebabkan kekuatan melodi lagu itu yang mesra telinga. Pendengar mungkin menikmati lagu itu untuk lepaskan tekanan," katanya. 

Anak jati Kuala Lumpur itu juga maklum dengan komen pendengar yang mengatakan sebutannya kurang jelas dalam nyanyian.

Bagaimanapun, Iman tidak mampu mengelak perkara itu kerana suara aslinya memang begitu.

"Saya memang baca setiap respon daripada pendengar terutama di YouTube. Ada yang mengkritik namun saya ambil semua itu dari sudut positif bagi memperbaiki lagi teknik nyanyian.

"Bagaimanapun, bagi komen yang kata suara saya seperti suara 'kemam', ia memang begitu kerana itulah nyanyian semula jadi saya. Apapun, saya pasti akan perbaiki segala aspek untuk lagu seterusnya," katanya.

Iman sebelum ini aktif memuat naik video nyanyiannya menerusi Instagram sejak berusia 16 tahun. Dia kemudian dilamar syarikat rakaman XO House sebagai artis rakaman.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 5:52pm
d