rap

Amelina ajar diri berjimat

Oleh Najiy Jefri

KEHIDUPAN sebagai anak seni bukanlah mewah sepanjang masa, sebaliknya ada pasang surut yang terpaksa dilalui dalam mendepani hari-hari mendatang.

Melihat keadaan sekarang yang makin getir dengan kehadiran pandemik Covid-19, barisan selebriti terutama penyanyi antara yang terjejas apabila banyak acara persembahan dibatalkan pada saat-saat akhir.

Bagi penyanyi Amelina, dia mengakui tawaran persembahan makin terhad apatah lagi perlu berjuang untuk meneruskan kehidupan.

"Bukan mudah nak teruskan hidup dalam keadaan sekarang ini. Tawaran menyanyi juga makin terhad sekarang. Banyak tawaran menyanyi dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Namun sebagai anak seni, kita perlu pandai berjimat dan bahagikan kewangan yang ada dengan sebaik mungkin. Kita sendiri yang perlu mengubah corak kehidupan kita mulai sekarang.

"Apa saja tawaran yang ada depan mata, saya anggap itu rezeki yang Tuhan berikan selain saya dapat kembangkan bakat yang ada," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Rahimah Tanpa Rahim, baru-baru ini.

Tambah Amelina, sebagai ibu tunggal kepada enam anak dia perlu bijak mengawal kewangan yang ada supaya tidak berlaku masalah yang tidak diingini di kemudian hari.

"Macam saya ada enam anak, jadi tanggungjawab dan komitmen setiap bulan memang tinggi. Saya perlu bahagikan duit belanja untuk anak-anak dan keluarga setiap bulan.

"Sejak kembali aktif dalam dunia nyanyian, saya sudah tidak lagi nak berbelanja mewah. Saya memang ajar diri saya untuk berjimat-cermat.

"Alhamdulillah, dugaan wabak ini juga tidak memberi kesan yang teruk kepada diri saya kerana saya masih mampu mengawal perbelanjaan setiap bulan dan hidup secara bersederhana," katanya.

Beralih mengenai kerjaya lakonan, Amelina berkata, pada awal pembabitannya sebagai penyanyi dia tidak begitu yakin untuk menjadi pelakon.

"Sebenarnya, dulu saya tak pernah terfikir ada bakat dalam bidang lakonan. Tambahan pula, fokus utama saya dulu adalah menyanyi saja.

"Lagipun kerjaya lakonan ini bukan mudah, kena ada jati diri yang kuat selain perlu bergaul dengan ramai orang untuk memahami watak lain dalam sesuatu naskhah itu.

"Tapi sekarang ini saya seronok untuk aktif berlakon. Kalau dulu menyanyi saya perlu bertanggungjawab kepada diri saya saja tapi kali ini saya perlu disiplinkan diri supaya bertanggungjawab terhadap watak lain juga.

"Saya perlu banyak berbincang dengan pelakon dan pengarah supaya keserasian sesuatu babak itu wujud dengan bersahaja," katanya.

Ditanya mengenai drama Rahimah Tanpa Rahim, Amelina berkata, dia membawakan watak sebagai ibu kepada seorang anak bernama Sakinah.

"Dalam watak ini saya seorang ibu yang pilih bulu terhadap calon menantu anak saya. Mudah kata saya ini wanita yang busuk hati dan ada saja idea untuk lakukan sesuatu terhadap Rahimah yang merupakan calon menantu pilihan anak tunggal saya.

"Drama ini adalah percubaan pertama saya membawakan watak serius. Kalau dulu saya hanya bawa watak tambahan saja tapi kali ini memang berat dan mencabar," katanya

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 6:40am
d