rap

Kritik biar beretika! [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

JIKA dahulu, kritikan filem hanya terhad dibuat wartawan yang bertugas di sesebuah akhbar atau pengkritik filem bertauliah.

Hanya mereka yang mempunyai ilmu berkenaan filem diberikan kepercayaan mengupas sesebuah filem dan menjustifikasi sama ada menarik untuk ditonton atau sebaliknya.

Penggunaan bahasa juga berlapik mengikut etika kewartawanan supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak khasnya penerbit, pengarah serta pelakon filem terbabit.

Namun, zaman berubah dan perkembangan internet dengan kemunculan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa saja membuat ulasan filem sekali gus menjadi pengkritik filem.

Trend baharu ini menyaksikan kemunculan beberapa YouTuber yang galak mengulas sesebuah filem mengikut cara tersendiri.

Ada yang masih berlapik, namun ada juga yang menggunakan bahasa kasar semata-mata untuk meraih tontonan tinggi.

Pengarah, Datuk Zulkifli M Osman berkata, semua pihak perlu melihat kelayakan YouTuber yang membuat ulasan berkenaan sesebuah filem.

"Kita kena tengok dulu siapa yang beri komen. Adakah orang itu mempunyai pengetahuan atau pengalaman berkenaan filem atau YouTuber yang sekadar nak tarik pengikut dan nak dapatkan tular.

"Komen mereka itu sedikit sebanyak ada negatif dan positifnya. Kalau kritikan itu negatif, ia akan terkesan pada kutipan filem itu sendiri.

"Malah, sedikit sebanyak akan menjatuhkan industri filem kita. Jika positif, orang akan menonton dan sudah pasti akan menaikkan graf dan ekonomi negara menerusi perfileman," katanya.

Menurutnya, setiap filem yang dihasilkan mempunyai pengajaran tersendiri kepada penonton.

"Jadi, sebaik-baiknya berilah komen yang bagus serta membina dan tak perlulah keluarkan kata-kata kesat. Jika keterlaluan, tujuan mereka hanya nak tontonan yang tinggi. Disebabkan komen itu, orang yang belum menonton tawar hati untuk menonton sedangkan ia sebuah filem yang baik.

"Kurangkanlah komen-komen yang melukakan hati orang. Ia agak sensitif terhadap mereka yang terbabit dalam sesebuah filem. Mungkin ia pandangan peribadi tapi janganlah luahkan kepada umum. Mereka akan bersangka buruk dan beri kesan pada sesebuah filem," katanya.

Penerbit dan pengarah, Syed Hussein Syed Mustafa Al-Qudsy berkata, ada bagusnya kewujudan pengkritik filem di YouTube kerana ia secara tidak langsung membuatkan pembikin filem lebih berhati-hati.

"Ini kerana karya mereka akan diperhatikan dan mereka perlu buat sehabis baik. Pembikin filem juga janganlah cepat melatah dan hati tisu. Kena tabah terima kritikan dan kenalah buat filem sebaik mungkin," katanya.

Menurutnya, dia juga memahami teknik YouTuber yang suka menggunakan tajuk berbaur kontroversi untuk menarik penonton.

"Apabila orang baca tajuk itu, contohnya suntingan filem saya macam sampah. Itu akan menarik perhatian orang untuk klik dan tengok video terbabit.

"Itu saya faham. Cuma sebagai pembikin filem, saya tak menggelabah dulu. Saya klik video dan dengar dulu apa dia nak cakap. Apabila dengar dan faham apa yang dimaksudkan, saya akan jelaskan di ruangan komen atau saya hantar WhatsApp atau mesej di Instagram untuk beritahu," katanya.

Syed Hussein yang juga penerbit filem Bulan dan Pria Terhebat berkata, penggunaan bahasa kasar untuk tarik perhatian bukanlah cara yang elok.

"Kadang-kadang tak semua orang tengok video dan akan terus buat kesimpulan. Ini juga akan buka peluang orang yang tunggu masa nak hentam filem tempatan akan buat kesimpulan filem sampah, tak elok dan jangan pergi tengok.

"Mungkin etika mereka perlu diperbetulkan dan ia kena dibuat secara profesional," katanya.

Menurutnya, ramai YouTuber luar negara turut mengkritik dan mengulas filem, tetapi secara profesional.

"Tak perlu hentam atau buat tajuk yang sensasi. Rasanya YouTuber kita kena belajar dari situ. Pengkritik perlu ada ilmu pengetahuan berkenaan filem. Tak semestinya dia pembikin filem. Dia perlu ada teori dan kalau bercakap bukan sekadar poyo atau menghentam tanpa pendapat yang ada ilmu.

"Setiap kali buat filem, saya cuba buat yang terbaik dengan bajet yang diberikan. Sekiranya bajet tak mampu buat seperti apa yang skrip kehendaki akan terus cakap dengan penerbit atau studio," katanya yang tidak mahu mengambil risiko membuat filem yang akhirnya dia akan dihentam.

Pengarah filem Polis Evo dan Bulan dan Pria Terhebat, Ghaz Abu Bakar berkata, seseorang Youtuber mungkin berasakan mahir berkenaan filem apabila mengulas berkenaan komposisi, lakon layar, sinematografi dan sebagainya.

"Apabila masuk kategori ini, secara tak langsung mereka letakkan diri mereka sebagai orang yang memahami industri filem. Jika mereka memahami industri filem, mengapa hentam sesebuah filem cukup-cukup sedangkan mereka mengaku sebagai orang yang nak kritik supaya industri filem makin bagus.

"Mereka takkan capai sasaran ini kerana pengarah yang dikritik takkan rasa nak baiki apa yang mereka cakap. Dia lebih rasa dihina, dikutuk dan rasa kerja-kerjanya teruk," katanya.

Menurutnya, seseorang pembikin filem sudah buat yang terbaik dan tidak wajar dia diperlakukan sebegitu rupa.

"Dia sudah letakkan semua dari tenaga kerja, hidup dalam filem dan kemudian dicaci, dihina dan dikeji, ia takkan membaguskan orang itu untuk filem seterusnya.

"Jika Youtuber ini rasa sudah buat satu peringatan kepada penonton agar jangan tengok filem itu. Ia bukanlah perkara yang baik. Mungkin ada penonton yang menonton tak rasa seperti mereka. Baginya cerita ini okey juga dan boleh layan," katanya.

Ghaz berkata, setiap orang berbeza-beza pengetahuan dan pemahaman mengenai filem yang ditontonnya.

"Mereka sebenarnya tak bantu industri filem. Kalau nak bantu, kena bijak dalam ulasan dan kena ada lebih 'empati' walaupun filem itu sampah atau macam mana sekalipun.

"Barulah pembikin filem dapat belajar dan kerana mereka, dia jadi lagi bagus. Dia dengar apa yang mereka cakap dan semangat nak buat lagi bagus. Mereka dah buat anjakan paradigma untuk buat dia sedar," katanya.

Menurut Ghaz, Youtuber semua memainkan peranan yang besar dan terserah pada mereka untuk meletakkan nilai diri mereka di mana.

"Mereka perlu jadi sebahagian dari industri perfileman. Orang memang terpengaruh dengan media sosial dan YouTube sekarang. Kita mengalu-alukan mereka semua, tapi kalau hanya cakap apa mereka rasa dan hanya tunjukkan apa yang mereka tahu, ia tak membantu mana-mana pihak.

"Kena ingat dalam apa-apa kerja sekalipun kena ada adab. Kalau bercakap tanpa adab dan perli apa yang bagus? Sebagai manusia, semua benda-benda ini kita perlu elak daripada buat," katanya.

Ulas filem kerana minat bukan populariti

Dua sahabat, Mael dan Zaf yang bergabung di bawah saluran YouTube Tellygeram mengakui membuat ulasan filem kerana minat dan bukan kerana mahu mencari wang atau populariti.

Mereka juga mengakui pernah dihubungi beberapa syarikat produksi menerusi e-mel bertanyakan kos untuk ulasan filem terbitan mereka.

"Jawapan kami sama, kami tak pernah dibayar. Kami tak pernah berfikir untuk meminta bayaran dan untuk masa akan datang pun takkan ada harga untuk apa-apa. Kami buat hanya kerana minat dan 'passion'. Apa yang kami buat bukan platform pemasaran atau pengiklanan," kata mereka.

Mael berkata, mereka juga tidak dibayar untuk mempromosi produk sebaliknya hanya bersembang berkenaan filem dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.

"Buat masa ini kami tak dijemput ke mana-mana seminar filem. Tapi kalau dijemput pun, bergantung juga kepada bentuknya. Kalau tanya saya secara peribadi, saya lebih suka perbincangan tertutup daripada terbuka. Ia seperti satu perdebatan tanpa kata putus. Kalau secara tertutup, bolehlah memahami dan berbincang cara waras tanpa mengganggu emosi," katanya.

Menyentuh kelayakan mereka yang dipertikaikan, Mael dan Zaf berkata, mereka hanya menyentuh benda-benda logik.

"Kalau buat penggambaran tepi tangga tanpa guna lampu, tentu hasilnya teruk. Takkanlah nak tunggu kami masuk sekolah filem baru boleh tegur berkenaan hal ini. Kami pun tahu kami di mana. Kebanyakan kami tak sentuh aspek kesan khas seperti Imej Janaan Komputer (CGI) kerana tahu membabitkan kos.

"Kami faham dan ada cerita yang babitkan CGI kami tak sentuh kerana yang penting pada kami adalah jalan cerita dan aturan cerita itu," kata mereka.

Menurut mereka, kalau jalan cerita berterabur dari awal hingga akhir, jangan mimpi untuk ke Oscars.

Bagi mereka, tidak salah mempunyai impian namun kenalah realistik. Sejujurnya mereka juga tidak berangan-angan untuk buat filem.

"Kami ada jumpa penerbit dan pengarah untuk perbincangan tertutup, bagi pendapat. Inilah cara sumbangan kami. Dari 2014 lagi kami sudah berjumpa ramai penggiat filem. Mereka nak tanya kami kenapa komen itu ini. Kami beritahu pendapat kami kenapa dan kesudahannya kami jadi kawan baik mereka.

"Ada juga yang ambil kami sebagai doktor skrip untuk projek seterusnya. Kami tak jadi musuh tapi nak jadi kawan. Senang cakap bukan nak semua filem terlalu bagus. Tapi cukuplah sekadar filem yang elok," kata Zaf.

Mereka berkata, industri seni luar negara menyaksikan pelakon dan pengarah filem menonjol, tetapi di negara kita, pelakon drama lebih dikenali masyarakat.

"Sekiranya diberi mandat jadi sebahagian dari produksi, ada bahagian-bahagian yang mungkin kami tambah atau tukar untuk jadikan sesebuah filem lebih baik daripada yang ada.

"Kami bukan kejar populariti atau perhatian. Kami ada pendapatan sendiri. Kami suka lihat sesebuah karya dan sekiranya perlu disentuh, akan sentuh. Sekiranya tiada, maknanya tiada yang akan sentuh. Maknanya apa yang mereka buat itu betul," kata mereka.

Pencapaian terbaik yang dicatat mereka ialah menerusi ulasan filem KL Gangster yang mencatat lebih 600,000 tontonan.

'Saya beri ulasan jujur,tak keterlaluan'

"Saya tak pernah terfikir nak kritik, cuma nak filem itu bagus. Secara jujurnya, saya ulas filem yang bagus pun, orang industri filem bukan dengar," kata saluran YouTube Pure Pixels, Muhammad Zhafran Zulkifly atau Zhaf yang aktif membuat ulasan filem dengan lantang menerusi YouTube.

Zhaf ketika ditemui berkata, percubaan pertamanya membuat ulasan filem Badang berjaya menaikkan jumlah penonton.

"Saya ulas filem itu kerana marah. Selepas menontonnya, saya rasa kenapa teruk sangat? Dah lama saya tak menonton filem tempatan. Sekali tengok, kenapa teruk sangat kalau dibanding dengan filem luar negara.

"Saya buat ulasan dan dapat sambutan. Bermula dari situ, saya ambil inisiatif membuat ulasan filem dalam dan luar negara dan jumlah 'subscriber' (pelanggan) pun bertambah," katanya yang mula aktif menghasilkan video pada 2018.

Menurut Zhaf, dia kemudian membuat ulasan positif filem KL Special Force yang disukai peminat.

"Itu kali kedua saya tonton filem tempatan yang 'gempak' selepas Polis Evo 1. Selepas itu saya tak pernah tertinggal menonton filem tempatan termasuklah filem berbahasa Cina. Tak terkecuali juga filem Hollywood.

"Awal tahun lalu baharulah saya dijemput menonton filem daripada pihak ketiga. Selepas itu baharulah saya buat kerjasama dengan studio filem luar negara seperti Warner Bros, Disney, Fox, UIP dan Netflix," katanya.

Zhaf berkata, setiap kali menonton sesebuah filem, dia akan memastikan sama ada berbaloi atau tidak dengan harga ti

ket yang dibayar.

"Filem luar negara seperti Avengers Endgame sangat menarik dan berbaloi dengan harga tiket yang dikeluarkan iaitu RM17 dan lebih lagi.

"Filem tempatan pun tiket harga sama. Jadi saya terfikir kenapa perlu keluarkan jumlah yang sama untuk tengok filem tempatan sedangkan filem luar ada yang lebih bagus.

"Itulah tarikan yang buat penonton biasa menonton filem luar negara. Namun tak dinafikan ada filem tempatan yang bagus seperti Polis Evo, Dukun, Paskal dan One Two Jaga. Berbaloi menonton filem-filem itu," katanya.

Zhaf berkata, dia hanya memikirkan untuk membuat ulasan dari pandangan dirinya sebagai penonton biasa kepada penonton biasa juga.

"Kalau saya kritik teruk-teruk pun siapalah saya untuk mereka dengar. Tujuan saya ialah untuk 'subscriber' saya tahu sama ada filem ini berbaloi ditonton atau tidak.

"Pengikut saya pergi menonton dan selepas itu bersetuju dengan pandangan saya. Bayar RM17 tapi dapat filem kualiti seperti tahun 1990 dan 2000," katanya.

Zhaf menyifatkan dirinya hanya berada di kelompok penonton biasa dan bukan mahu mengutuk penggiat filem.

"Sedangkan pengkritik filem pun mereka tak nak dengar. Apatah lagi saya. Sebelum saya buat ulasan pun, kutipan mereka bukanlah tinggi sangat.

"Filem kualiti rendah banyak yang tak sampai sasaran kutipan kerana faktor pemasaran. Selama dua tahun setengah, banyak perkara yang saya lalui. Ada penerbit dan pengarah yang bagi ancaman saman, nak ancam lapor polis dan macam-macam lagi," katanya.

Dia juga mengakui pernah menggunakan bahasa kasar ketika membuat ulasan tapi itu situasi pada 2018 dan 2019.

"Selepas terima ancaman, saya cuba berubah buat ulasan yang lagi okey. Sudah dua tahun, setiap kali benda ini berlaku, saya jadi tertekan kerana niat saya hanya untuk ulas filem untuk pengikut.

"Saya tak kisah orang industri filem tak hargai ulasan positif saya. Sebagai pulangan janganlah kutuk saya kalau saya kritik filem yang memang betul-betul diakui kebanyakan penonton sebagai sampah," katanya.

Akuinya filem Fly By Night yang diterbitkan tahun lalu sebuah filem yang bagus, namun sayangnya kutipan agak mengecewakan.

"Ia setanding One Two Jaga dan akhirnya masuk Netflix. Bukan mudah filem kita nak masuk situ. Filem Roh juga bagus dan berkualiti antarabangsa. Saya tak perlu jaga hati orang industri filem. Yang penting sekarang ialah jaga hati pengikut saya. Itu ialah kepercayaan mereka untuk saya berikan ulasan yang jujur dan tak keterlaluan.

"Orang mungkin ingat pendapatan saya tinggi. Paling tinggi pun saya dapat beberapa bulan lalu hanya RM1,800 berbanding orang lain," katanya.

Dia mengakui mulanya tidak berniat menjana pendapatan menerusi YouTube, tetapi berbuat demikian apabila dibolehkan.

"Ada penerbit filem tempatan yang nak bayar untuk dapat ulasan positif tapi saya enggan kerana tak nak gadaikan kepercayaan pengikut," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 6:40am
d