rap

'Benda baru mestilah ada yang kritik dan kecam' - Syahmi Sazli

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur : Kesudian pihak Astro First menayang filem Mael Totey The Movie yang kini mencatat kutipan RM2.56 juta dianggap kejayaan awal buat penerbit, pengarah dan pelakonnya, Syahmi Sazli.

Syahmi berkata, dia tahu bukan mudah Astro First mahu mengambil karyanya memandangkan dia tiada pengalaman dalam bidang perfileman. 

"Takkan mereka senang-senang nak ambil karya orang kampung macam saya untuk ditayangkan. Itu sudah kira satu kejayaan dan bila dapat kutipan begini tentulah saya terkejut dan bersyukur. Mungkin juga kerana sokongan peminat-peminat yang berkualiti. Saya amat menghargai mereka yang melanggan," katanya kepada Harian Metro.

Syahmi yang sebelum ini dikenali menerusi segmen drama spontan di YouTube berkata, tidak kurang juga yang memperlekeh karyanya tetapi dia tidak mudah melatah.

"Kena kondem memanglah lumrah. Saya cuba bawa suasana baru iaitu buat cerita tanpa ikut standard piawaian sebenar sesebuah filem dan gunakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai pelakon. Benda baru biasalah ada yang kritik dan kecam. Insya-Allah kita doakan semoga mereka yang kritik atau kondem ni dapat terima apa yang dibuat. 

"Kena ingat balik apa tujuan saya buat filem ini. Ia hanya khusus untuk mereka yang sudah mengenali karya saya. Yang kritik itu mungkin tak kenal atau tak pernah 'follow' saya. Tak boleh salahkan mereka juga," katanya. 

Syahmi berkata, buat masa ini dia dan isterinya mahu berehat seketika sebelum memikirkan karya selanjutnya.

"Mungkin lima atau enam bulan lagi atau setahun baru kami tampil untuk berkarya. Ini kerana selepas penggambaran sejak 12 Julai lalu memang kami tak berhenti lagi dari bekerja. Saya dan isteri berulang-alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur untuk uruskan pelbagai kerja teknikal filem ini. Semuanya kami buat sendiri.

"Bermula dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga tayangan pada 22 Oktober lalu, kami belum rehat lagi," katanya yang mahu memberi tumpuan pada perniagaan isterinya pula.

Ditanya sekiranya bercadang mahu menghasilkan mael Totey The Movie 2, Syahmi mengakui sedang menimbangkan perkara ini.

"Mungkin ada kerana ramai yang minta. Mungkin juga saya hasilkan karya baru. Buat masa ini saya tak dapat cakap apa-apa lagi. Sekarang saya ada perancangan nak bagi bonus kepada semua tenaga kerja. Selain itu saya juga nak jamu peminat yang menyokong tapi agak sukar dibuat pada ketika pandemik Covid-19 sekarang. Mungkin juga kami boleh jelajah ke setiap negeri buat perjumpaan dengan penyokong sambil makan-makan," katanya.

Kejayaan yang dikecapi memberi semangat baru buatnya untuk terus berkarya.

"Tak dinafikan tekanan yang perlu dihadapi tinggi juga. Saya kena buat lagi terbaik untuk filem seterusnya. Insya-Allah saya akan masuk kelas pengarahan kendalian Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) untuk menambah ilmu serta memantapkan lagi kerjaya pengarahan saya," katanya.

Pencapaian itu turut menjadikan Mael Totey The Movie sebagai filem pertama dengan kutipan paling tinggi di Astro First sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang filem Syif Malam Raya.

Selain Syahmi, Mael Totey The Movie yang mengangkat genre komedi dibintangi selebriti YouTube seperti Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad dan Aween Ismail. Ia turut dibintangi pelakon popular seperti Kamarool Yusoff, Aznah Hamid, Daler Yusof Hushairi Hussain dan penyampai radio Gegar, Ewan.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 11:55am
d