rap

Adik Khai Bahar pula menyanyi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Khai Bahar 'merestui' jika adik perempuannya, Kyra Baharuddin, 22, mahu serius dalam bidang nyanyian.

Ia susulan beberapa video nyanyian duet mereka tular selepas dimuat naik di Instagram dan YouTube.

Khai berkata, baru kali ini Kyra memberanikan diri untuk tampil di laman sosial itu.

"Dia memang suka menyanyi. Semua video yang dimuat naik sekadar suka-suka. Kalau saya ajak 'cover' lagu dia memang nak. Cuma dia pernah cakap, kalau nak terbabit secara serius mungkin belum lagi.

"Tapi, saya okay saja kalau dia betul-betul nak. Tak salah untuk saya menyokong minatnya. Dia pemalu, jadi memang tak pernah muncul pun. Selepas saya paksa, baru dia okay," katanya.

Menurut Khai yang muncul dengan single Durja, banyak pihak yang mencadangkan mereka tampil dengan single duet.

"Ramai yang buat permintaan untuk kami rakamkan lagu duet. Tapi, buat masa sekarang belum terfikir ke arah itu. Mungkin orang berasakan dia boleh menyanyi, tapi biarlah dia menunjukkan kemampuan sendiri. Bagi saya itu lebih baik. 

"Tidak mahu nanti orang cakap dia menumpang nama saya untuk masuk dalam bidang ini. Jadi, kalau memang ada rezeki untuknya, saya akan sentiasa menyokong," katanya.

Terbaharu, Kyra atau nama sebenarnya Nurul Syakira Baharuddin memuat naik video lagu Teman yang dipopularkan oleh Iman Troye.

Video yang dimuat naik sejak enam hari lalu itu mencecah tontonan 50,000 dan lebih 200 komen yang kebanyakannya memuji kelunakan suara Kyra.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 12:27pm
d