rap

Air mata syukur Chef Naem

Oleh Najiy Jefri

Kehidupan personaliti televisyen, Chef Naem kini cukup sempurna dengan kehadiran cahaya mata perempuan yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan di ibu kota pada jam 4.10 petang, Jumaat lalu.

Berpeluang menemani isterinya, Nurul Syazwani Zulkaffli ketika melahirkan anak sulung mereka itu, Naem mengakui ia sesuatu yang sukar untuk dilupakan.

"Melihat keadaan isteri yang menahan kesakitan membuatkan saya terasa sakitnya sekali. Satu perasaan yang saya tak dapat nak luahkan sebab saya berpeluang melihat sendiri proses kelahiran anak pertama. Bermula dengan kepala bayi yang keluar secara perlahan-lahan sehinggalah bayi lahir dengan begitu sempurna," katanya.

Menurut Naem, dia mengakui mengalirkan air mata tatkala melihat bayi seberat 3.5 kilogram itu selamat dilahirkan.

"Saya cuba beranikan diri melihat kelahiran anak pertama. Saya akui menangis melihat keadaan itu. Dalam pada gembira dan sedih menyambut kelahiran anak pertama, ia juga buat saya rasa insaf dan kini memikul satu tanggungjawab baharu.

"Perasaan gemuruh ketika proses bersalin ini lebih menakutkan berbanding majlis akad nikah sebelum ini," katanya.

Ditanya nama bayi perempuan yang diberikannya dan isteri tercinta, Naem berkata, mereka belum memutuskan lagi.

"Nama belum dapat disahkan lagi kerana ibunya masih mencari nama yang sesuai untuk anak pertama kami. Jadi saya menunggu pilihan terbaik daripadanya saja," katanya.

Mengakui pengalaman menjaga anak antara perkara yang bukan mudah, namun Naem mengakui inilah tanggungjawab baharu yang harus dipikul.

"Sejak isteri keluar hospital Ahad lalu, saya memang tak cukup tidur apabila bayi terjaga dalam tempoh yang dekat. Memang masa tidur agak 'rabak' tapi seronok dan anggap ini tanggungjawab yang perlu digalas selepas bergelar seorang bapa," katanya.

Naem dan Syazwani berkahwin pada 10 Ogos 2018 di Jempol, Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 6:30am
d