rap

Bagio amal minum susu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Sebaik berita kemalangan menimpanya disiarkan media, penyanyi dan pelakon Bagio Damasutra menerima banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang mahu membantunya.

Bagio, 49, atau nama sebenarnya Bahagia Daharun bagaimanapun mengakui lebih selesa menjalani pemulihan secara semulajadi buat masa ini.

"Ramai yang nasihatkan saya untuk cuba rawatan alternatif seperti urutan. Bahkan ada perawat tradisional yang nak bantu tapi saya minta tunggu dulu.

"Bukan tak nak buat rawatan cara ini, tapi saya mahu tengok perkembangan tulang dan berharap pulih sendiri. Saya amalkan minum susu mengandungi kalsium untuk pertumbuhan tulang," katanya kepada Harian Metro.

Dalam kejadian yang berlaku di Desa Pandan petang semalam, Bagio yang dalam perjalanan dari rumahnya di Pandan Jaya untuk melakukan aktiviti berbasikal bersama rakan-rakannya di Taman Setiawangsa patah bahu kiri dan luka di kening serta bibir.

Bagio berkata, dia melihat pengalaman isterinya yang patah tiga pergelangan tangannya tetapi pulih sendiri.

"Pada asalnya doktor nasihatkan dia untuk masuk 'plate'. Tapi bila dia teruskan usaha minum susu, tulang itu tumbuh dengan normal sehingga tak perlu buat pembedahan.

"Kena ikhtiar secara semulajadi dan saya ikut keputusan doktor kerajaan. Namun, kalau ikut saranan doktor pakar swasta memang disuruh buat pembedahan.

"Sebenarnya kategori patah saya tak perlu buat pembedahan atau 'extra part' untuk penambahbaikan. Doktor pakar kerajaan memang kata begitu," katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana tidak mempunyai insurans perlindungan diri.

"Saya pernah ada insurans tapi kegagalan buat pembayaran buatkan polisi terbatal. Faham sajalah pendapatan sebagai penyanyi tak tetap. Rasanya ramai artis lain pun lalui situasi yang sama. Alhamdulillah hospital kerajaan kenakan kadar bayaran yang murah," katanya.

Bagio yang terpaksa berehat sekitar tiga hingga enam bulan berkata, dia masih trauma mengingatkan kejadian ini.

"Saya ambil langkah berhati-hati dan kuatkan mental untuk pastikan tubuh badan saya boleh bergerak dan berjalan. Insya Allah saya akan bincang dengan isteri untuk tengok rawatan yang bersesuaian atau alternatif lain. Selagi tak babitkan sentuhan fizikal mungkin saya akan pertimbangkannya," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 5:33pm
d