rap

Konsert 4G'S Disember ini

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Impian peminat untuk melihat kemunculan sulung empat penyanyi lelaki generasi masa kini iaitu Black, Hazama, Tomok dan Akim dalam Konsert 4G's Gabungan Melodi Terindah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, April lalu tidak kesampaian apabila ia terpaksa ditunda berikutan penularan kes Covid-19.

Keputusan itu terpaksa diambil penganjur, Belbis Sdn Bhd selaras arahan kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu sekali gus menyaksikan semua aktiviti membabitkan ramai orang ditangguhkan.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fendy Alias berjanji memastikan konsert ini tetap akan berlangsung di Istana Budaya dan akhirnya memilih tarikh 11 dan 12 Disember ini.

"Untuk konsert nanti, kami perlu memenuhkan 450 tempat duduk dalam Istana Budaya untuk setiap malam selama dua malam persembahan dan berkemungkinan akan ditambah satu malam lagi.

"Namun semuanya masih dalam perancangan kerana bergantung kepada keadaan dan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan," katanya.

Belbis Sdn Bhd yang berpengalaman menganjurkan beberapa konsert berskala besar seperti Romansa Kris Dayanti dan M Nasir Sang Pencinta yakin pemilihan Black, Hazama, Tomok dan Akim untuk dua malam persembahan menjanjikan peminat terhibur berbaloi dengan harga tiket yang dibayar penonton.

Idea untuk mengadakan konsert ini dicetuskan oleh Black yang sering terbabit dengan tiga rakan lain dalam program Mentor TV3.

Pelawaannya terhadap Tomok, Akim dan Hazama untuk bergabung disambut baik mereka yang berjanji menampilkan persembahan terbaik buat peminat.

Empat penyanyi ini juga bakal melancarkan single yang julung kalinya menggabungkan suara mereka pada awal Disember ini dan istimewanya menjadi hiburan bonus buat penonton Konsert 4G's.

Dalam perkembangan sama, Belbis Sdn Bhd turut dibantu Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia bagi melancarkan lagi perjalanan konsert ini yang tertangguh sebelum ini.

Selain itu Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia juga terbabit sama bagi memastikan konsert ini akan berjalan seperti yang dirancang.

Bermula 15 Oktober lalu, peminat boleh mendapatkan tiket melalui www.airasiaredtix.com.

Fendi berkata, peminat yang sudah membeli tiket sebelum ini akan mendapat e-tiket yang baharu yang akan dihantar menerusi e-mel masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 6:20am
    d