rap

Finas akan bertegas

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bertegas mahu mengambil tindakan terhadap mana-mana platform media sosial dan laman sesawang yang mengedarkan filem tanpa lesen pengedaran yang sah.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pihaknya mengambil serius perkara ini berikutan aduan yang diterima daripada penerbit filem.

 "Aduan terbaru diterima daripada penerbit filem Mael Totey The Movie berkenaan kegiatan pengedaran filemnya melalui platform media sosial dan laman sesawang tanpa lesen pengedaran yang sah, melakukan pelanggaran Hak Cipta serta syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

"Finas melalui Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan bertindak proaktif dalam mendepani isu ini dan siasatan awal mendapati beberapa platform digunakan untuk menjalankan kegiatan pengedaran filem tanpa kebenaran pemilik Hak Cipta. Finas ingin mengingatkan kepada pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran filem melalui platform yang disebut membabitkan urusan edaran, jual beli dan sewaan atas talian tanpa lesen pengedaran yang sah, melakukan pelanggaran Hak Cipta serta syarat-syarat lesen yang ditetapkan, agar menghentikan kegiatan ini dengan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan.

Idham berkata, Finas komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran yang menyalahi undang-undang.

"Ia berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Perbadanan  Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda  dibawah Seksyen 25(1). Akta yang sama juga memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit  kesalahan.

"Finas juga ingin menasihatkan kepada orang awam agar tidak menyokong dan bersubahat sebarang kegiatan filem yang disyaki tidak memiliki lesen pengedaran yang sah melalui platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang," katanya.

Idham berkata, Finas bersifat terbuka dan menyambut baik untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan dalam membanteras kegiatan aktiviti pengedaran filem tanpa lesen yang sah daripada Finas serta tidak mematuhi undang-undang.

Sebarang maklumat dan aduan berkaitan perkara ini boleh diajukan melalui emel pembanteras@finas.my.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 5:11pm
d