rap

Pertimbang watak sesuai

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Penghijrahan berlaku dalam pelbagai bentuk. Bagi pelakon, Zul Yahya, namanya pernah menyinar dan memeriahkan industri seni tanah air.

Lakonannya bersahaja dan versatil. Beri apa saja karakter, daripada watak serius sehinggalah komedi, semuanya dibawakan Zul dengan baik dan berjaya menghiburkan penonton.

Berpeluang menemu bual pelakon yang kini menetap di Ipoh, Perak itu, dia berkongsi mengenai perkembangan terkininya.

"Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat kerana Allah permudahkan banyak urusan saya dan kini, saya bermastautin di Ipoh. Dah nak masuk usia warga emas ini, saya kembali ke sini dan membuka perniagaan di Meru," katanya.

Menurutnya, masanya kini banyak dihabiskan untuk menguruskan perniagaan berasaskan makanan yang dilakukannya memandangkan ia memerlukan tumpuan penuh.

"Bila dah terbabit dalam perniagaan makanan, kita jadi dekat dengan pelanggan dan kita sediakan produk untuk mereka. Disebabkan itulah, saya perlu berikan tumpuan penuh kepada perniagaan ini dan tak boleh terlepas pandang.

"Insya-Allah, bulan depan pula saya akan membuka kedai runcit di kawasan sekitar tempat tinggal. Semakin banyak tanggungjawab saya selepas ini, tapi itu semua yang mengisi jadual harian saya," katanya.

Ditanya mengenai lakonan, Zul tidak menolak kenyataan bahawa dia masih lagi sering ditawarkan untuk berlakon.

"Tawaran memang ada, tapi saya sendiri yang pilih untuk berehat terlebih dahulu. Kalau ada keinginan untuk kembali berlakon, saya akan buat tapi mengikut kesesuaian," katanya.

Menjelaskan lagi mengenai apa yang dimaksudkan dengan kesesuaian, Zul berkata, dia perlukan karakter yang kena dengan usianya.

"Kalau watak yang ditawarkan itu kena dengan usia, lebih matang dan mungkin lebih serius, saya akan pertimbangkan.

"Kalau boleh, biarlah karakter yang saya lakonkan itu, ada nilai dalam penyampaian kepada penonton dan menjadi asbab untuk sampaikan sesuatu yang baik buat masyarakat juga," katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 6:30am
d