rap

Syafeek suntik elemen Perancis

Oleh Norhayati Nordin

Minat mendalam pada bidang nyanyian membuatkan pendatang baharu seni suara dikenali Syafeek Ikhwan enggan cepat mengalah daripada terus berusaha memahat nama dan bakatnya.

Meskipun, beberapa tahun lalu Syafeek pernah tampil menghasilkan dua lagu untuk dipertaruhkan sebagai 'pengenalan diri' tidak membawa impak apa-apa, dia mengaku memang berasa sedih.

Bagaimanapun, katanya dia perlu terus bersemangat untuk memperjuangkan bakat seni dimiliki kerana yakin jika terus berusaha pasti akan ada peluang.

"Syukur, saya akhirnya dapat bekerjasama dengan Whiteroom Records sebagai syarikat rakaman dan Rusa Music pula bertindak mengedar dan mempromosikan lagu.

"Alhamdulillah, hasrat saya untuk muncul dengan lagu baharu menjadi kenyataan apabila berpeluang merakamkan lagu berjudul Penjara ciptaan bersama Sirkhan dan Sang Hitam, manakala lirik ditulis Sirkhan.

"Secara tidak langsung, lagu Penjara adalah karya ketiga yang saya rakam dan nyanyikan. Malah, video muziknya juga sudah dilancarkan di YouTube pada awal Oktober lalu," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali ini lagi, menariknya lagu Penjara itu apabila dia turut diberi peluang dan kepercayaan oleh Sirkhan untuk menyuntik elemen bahasa Perancis dalam lirik ditulis komposer berkenaan.

"Saya sebenarnya pernah melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang kejuruteraan selama empat tahun di Perancis, jadi kiranya ada jugalah penguasaan kemahiran dalam bahasa itu.

"Apabila Sirkhan memberi pandangan ada bagusnya juga lagu Penjara diberi suntikan elemen bahasa Perancis kerana sesuai dengan susunan muzik dan lirik bagi kelainan, saya lakukannya sebagai percubaan.

"Malah, apabila merakamkan lagu ini yang bergenre pop, saya cuba alunkannya dengan lenggok lagu tradisional Melayu. Ditambah, saya juga ketika di luar negara sering terbabit persembahan menyanyikan lagu tradisional Melayu," katanya.

Mengakui meletak harapan tinggi untuk lagu Penjara mendapat sambutan positif, Syafeek berkata, setakat ini dia sudah gembira apabila video muzik lagu itu mencatat lebih 64,000 tontonan pelayar dengan komen positif yang membina.

"Sebagai penyanyi baharu yang belum dikenali, saya teruja dan bersyukur dengan pencapaian diperoleh video muzik lagu Penjara. Bagi saya, ia satu permulaan yang bagus untuk terus mewarnai industri seni tanah air.

"Pembabitan saya dalam kerjaya seni hanya berlandaskan minat mendalam yang dipupuk sejak kecil. Bagaimanapun, selain menyanyi saya juga ada bidang kerja tetap yang lain demi jaminan masa depan," katanya.

Menurut Syafeek, bidang nyanyian bukan tiada jaminan buatnya tetapi sedar untuk nama serta bakat seseorang anak seni dikenali pasti memerlukan masa. Katanya, ada orang rezeki mereka cepat dan ada pula sebaliknya harus berjuang bertahun lama.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 6:40am
d