rap

Siapa ganti Siti Nurhaliza?

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Komposer lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ippo Hafiz sukar untuk menjawab pertanyaan mengenai siapa penyanyi yang akan menggantikan Siti selepas lagu itu layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SAMM35).

Ippo berkata, beberapa aspek perlu dipertimbangkan memandangkan lagu itu membabitkan empat penjuru.

"Saya tak boleh buat keputusan 100 peratus kerana perlu berbincang dengan semua yang terbabit iaitu Siti Rosmizah selaku penulis lirik, MVM Music, Universal Music Malaysia dan juga Siti Nurhaliza Productions (SNP). Jadi, kami akan berbincang mengenai penyanyi yang akan membuat persembahan. Apabila nama sudah dipilih, kami perlu melihat juga syarikat rakaman penyanyi itu sebelum membuat keputusan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, itu akan menjadi elemen kejutan buat peminat lagu yang menjadi OST drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 itu.

"Yang pasti, tentunya akan ada kejutan. Bila dah ada keputusan muktamad, saya akan kongsikan dengan semua," katanya.

Sementara itu, pengurus Siti, Rozi Abdul Razak menerusi Instagram meminta supaya peminat penyanyi kesayangan ramai itu menghormati mana-mana penyanyi yang akan menggantikannya.

"Siti tentunya sudah menyampaikan tanggungjawab melagukan lagu itu pada satu medium yang beliau terbitkan. Bagaimana penzahirannya di pentas separuh akhir itu, kita santuni siapa pun yang akan 'melagukannya' dengan kepercayaan dan sokongan," tulisnya.

Selain Aku Bidadari Syurgamu, satu lagi lagu yang dipopularkan Siti berjudul 7 Nasihat juga layak ke pentas SAMM35 dan kedua-dua lagu akan berentap di episod sama iaitu pada 21 November ini.

Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 5:33pm
d