rap

Neelofa penghias muka depan majalah berbahasa Cina

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa menjadi artis pertama yang berniqab atau berpurdah muncul sebagai penghias muka depan majalah berbahasa Cina, Citta Bella bagi edisi November.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram majalah itu, konsep sesi fotografi datang daripada pengacara Next To Neelofa itu sendiri.

"Kami sangat bangga menampilkan Neelofa untuk edisi November 2020 Citta Bella buat kali ketiga dengan keindahan yang begitu sofistikated namun elegan. Gambar-gambar ini diambil sebelum Neelofa secara terbuka mengumumkan keputusannya untuk mengenakan niqab.

"Neelofa sudah memiliki konsep untuk menutup bahagian wajahnya pada September yang mana penata gaya, Colin melaksanakan semasa sesi fotografi pada awal Oktober.

"Sedikit sebanyak yang diketahui, Neelofa memakai niqab secara terbuka seminggu selepas penggambaran. Kami mendoakan yang terbaik untuk perjalanan spiritual baru yang dia lalui," katanya.

Menerusi hantaran sama juga, Citta Bella berkata, mereka berusaha untuk memaparkan kecantikan wanita bukan saja secara luaran tapi juga dalaman.

"Citta Bella merangkumi keindahan kepelbagaian budaya. Kami berusaha sebaik mungkin untuk mencantikkan kecantikan wanita dan kekuatan dalaman mereka, tanpa mengira usia, bentuk badan, etnik dan kepercayaan mereka. Kami mendoakan masa depan yang lebih baik, untuk semua," katanya.

Hantaran yang dimuat semalam itu mendapat lebih 800 tanda suka dan lebih 40 komen yang kebanyakannya memuji konsep dan penampilan Neelofa.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 9:02am
d