rap

Eva tak pernah bubar

Oleh Norhayati Nordin

Linda menafikan dia meninggalkan kumpulan Eva dan bergerak solo berikutan kecewa apabila tersingkir dari saingan Gegar Vaganza 7 (GV7), Ahad lalu.

Linda, 43, berkata, dia memang akan bergerak menyanyi secara solo, namun tidak bermakna kumpulan Eva dibubarkan dan semua anggotanya membawa haluan masing- masing.

"Eva tak pernah bubar selama ini dan akan wujud sampai bila-bila, cuma kami tidak terikat kontrak untuk satu kumpulan. Dalam erti kata lain, masing-masing boleh bergerak sendiri dalam kerjaya seni kami.

"Bagaimanapun, jika ada permintaan mahukan Eva muncul berempat, bertiga atau berdua, kami boleh saja terima asalkan ada bajetnya serta kena dengan masa. Ditambah, kami dalam Eva ini semua ada komitmen keluarga," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan dia terlalu kecewa selepas kumpulan Eva tersingkir pada minggu keempat GV7 lalu, Linda berkata, dia bersama rakan lain sentiasa bersedia dengan apa saja keputusan.

"Pada awal pembabitan dalam GV7 lagi, kami meletak harapan berjuang selagi kekal di pentas persaingan. Jika tersingkir, rezeki kami hanya sampai di situ dan terima dengan positif. Malah, disebabkan kami tiada kontrak secara berkumpulan maka, sekarang kenalah kembali semula pada kehidupan biasa. Fokus pada komitmen masing-masing.

"Macam saya, sebelum masuk GV7 lagi sudah dapat tawaran untuk merakamkan satu lagu dangdut hasil ciptaan seorang komposer dikenali. Kami sudah berbincang lama. Ia umpama rezeki saya selepas berkahwin. Ikutkan kemampuan sendiri, saya tiada duit pun nak hasilkan lagu baharu. Tapi, komposer berkenaan yang sudi beri peluang dan yakin dengan vokal saya," katanya.

Linda yang bertemu jodoh kali kedua bersama Mohd Fairuz Ibrahim pada Julai lalu berkata, dia bersyukur suami sangat memahami minatnya pada nyanyian dan sentiasa memberi sokongan.

Selain Linda atau nama sebenarnya Norhaslinda Ishak, kumpulan Eva yang pernah popular dengan lagu Bulan Cinta pada era 1990-an turut dianggotai Izzu, Mimi dan Rina.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 6:22am
d