rap

'Tak salah hargai wanita'

Oleh Norhayati Nordin

"Tidak salah untuk lelaki menghargai wanita dan itu cara saya," kata penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, 23.

Afieq menafikan cara dia melayan mesra peminatnya terutama wanita umpama 'kekasih' di dalam kumpulan Telegram khas diwujudkan buat peminat untuk tujuan menggoda.

"Saya masih tahu menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan wanita walaupun dalam kumpulan Telegram. Jadi, tidak timbul soal layanan mesra umpama kekasih itu kerana saya mahu goda peminat.

"Ditambah lagi, kumpulan peminat saya dalam Telegram itu ada lelaki dan wanita. Jadi, apa yang kami kongsi selalunya ucapan ringkas seperti selamat pagi, selamat hari lahir, dah makan ke belum dan isu-isu semasa.

"Bagi saya, ia layanan yang biasa dan peminat pun faham tiada langsung unsur peribadi. Cara saya, hanya untuk menghargai dan bersahabat baik dengan mereka (peminat). Itu saja'," katanya.

Mengakui setiap selebriti ada cara masing- masing melayan peminat mereka, Afieq berkata, layanan baiknya terhadap peminat terutama wanita tiada unsur 'serampang dua mata' seperti mahu ajak bercinta.

"Saya memang sentiasa meletakkan peminat sebagai keutamaan kerana sangat menghargai mereka yang tak jemu memberi sokongan selama ini. Sejak kecil ketika menyertai Idola Kecil dahulu sehingga sekarang, masih ramai yang setia menyokong dan ia sangat dihargai. Terima kasih semua," katanya.

Afieq yang kini popular dengan lagu Lelaki Di Telefon berkata, sekarang dia sibuk membuat persiapan untuk program Vokal Mania di TV3 sebagai salah seorang Rookie.

Katanya, walaupun sudah ada pengalaman menyanyi dan pernah menyertai Big Stage 2018 lalu, pengalaman tetap tidak sama dan perasaan gementar akan sentiasa ada.

Dia mengharapkan dapat membuat yang terbaik di pentas persaingan itu nanti. Malah, insiden persembahan 'rookie' yang tular baru-baru ini membuatkan dia perlu lebih bersedia.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 6:35am
d