rap

Harry Khalifah belanja 'frontliners'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Walaupun menyedari video tular memaparkan petugas barisan hadapan (frontliners) berjalan keluar dari penjara Alor Setar sambil diiringi nyanyian beramai-ramai lagu Doa Wira Negara adalah suntingan pihak tertentu, pencipta lagu itu, Harry Khalifah tetap menganggapnya positif.

Harry yang menghasilkan pelbagai lagu popular seperti Hang Pi Mana berkata, dia turut berbangga apabila pihak yang menghasilkan video berdurasi 59 saat yang dimuatnaik menerusi aplikasi TikTok itu memilih lagunya sebagai lagu latar.

"Saya baru diberitahu lagu nyanyian beramai-ramai itu sebenarnya adalah nyanyian pelatih baru anggota polis yang dinyanyikan di pusat latihan. Bagaimanapun individu itu ambil dan masukkan dalam video yang mengundang salah faham dalam kalangan ramai pihak.

"Saya enggan mengulas perkara ini kerana ia bukanlah kesalahan besar. Dari sudut positif niatnya baik kerana mahu menghargai barisan hadapan yang berkorban nyawa untuk keselamatan orang lain," katanya kepada Harian Metro.

Harry berkata, dia bangga kerana lagu ciptaannya ini menjadi pilihan pelbagai pihak termasuk dinyanyikan oleh pelatih polis sebagai pembakar semangat.

"Saya rasakan semua pihak menghargai lagu saya yang tidak seberapa ini. Sebagai anak seni, saya memberikan sumbangan cara ini dan nampaknya ia diterima baik semua pihak.

"Lagu yang asalnya berjudul Suaramu Syairku ini mulanya dinyanyikan oleh saya sendiri. Namun tak kurang juga timbul kontroversi apabila remaja autisme, Asif Suhaimi menyanyikan semula lagu ini dalam versinya sehingga saya dituduh mempergunakan dia untuk mencari publisiti.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya buat keputusan tukar lirik dan judulnya sebagai mengenang jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang dianggap wira-wira negara," katanya.

Dia turut merancang untuk menghasilkan lirik baru lagu ini dengan meletakkan 'wira-wira penjara' sebagai dedikasi terhadap kakitangan penjara yang turut berhadapan risiko tinggi dalam menangani pandemik Covid-19.

"Mungkin sebelum ini peranan dan tanggungjawab mereka kurang disedari oleh sebahagian kita. Jadi saya nak buat lirik ini sebagai mengenang jasa mereka terhadap negara dan masyarakat," katanya.

Ditanya berkenaan royalti yang diperoleh menerusi lagu ini, Harry mengakui sudah membelanjakan sebahagiannya kepada barisan hadapan.

"Semasa PKP yang pertama, saya dapat royalti dan 'belanja makan' barisan hadapan di Kalumpang dan Tanjung Malim. Untuk kali ini pula, saya bercadang nak 'belanja makan' kakitangan penjara pula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 6:01pm
    d