rap

Ya Badratim versi Zayne

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KUMPULAN nasyid Zayne yang terdiri daripada empat anak muda iaitu Muhammad Furqan Fawwaz Salleh Sani, 22; Matin Muzzamil Mohd Ya'acob, 24; Ahmad Naufal Azrin, 21; dan Abdul Basit Zulkipli, 25, begitu pantas mencuri perhatian peminat.

Zayne yang memeterai perjanjian pengurusan artis dan penerbitan lagu bersama Inteam melalui syarikat Inteam Records Sdn Bhd yang kini dikenali dengan nama Inteam Digital turut dianggap pelapis kumpulan terbabit.

Selepas tampil dengan single berjudul Rindu tiga bulan lalu, kumpulan yang dianggotai graduan Universiti Al-Azhar, Mesir, Maahad Tahfiz dan Universiti Kebangsaan Malaysia ini tampil dengan single Ya Badratim.

Furqan Fawwaz selaku ketua kumpulan berkata, lagu ini dihasilkan bertujuan untuk melahirkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

"Single kali ini kami lancarkan bertepatan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu Rabiulawal bagi mengajak peminat memuji Nabi dan mengingati baginda lantas memperbanyakkan selawat.

"Ya Badratim adalah qasidah popular yang kami rakam semula dalam versi dwibahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu bagi memudahkan kefahaman semua pendengar terhadap liriknya," katanya.

Lebih istimewa lagu Ya Badratim juga turut mempunyai kenangan tersendiri buat salah seorang anggota mereka iaitu Naufal.

"Alhamdulillah, sebelum ini saya pernah merakamkan lagu ini ketika kanak-kanak bersama kumpulan Qasidah Nurul Musthofa. Ia juga berada di bawah terbitan Inteam Digital dan lagu terbabit kini sudah mencecah 30 juta tontonan.

"Disebabkan itulah, Inteam Digital merancang merakam semula qasidah ini dalam versi terkini yang dibawakan oleh saya dan rakan-rakan Zayne," katanya.

Bagi memantapkan promosi Ya Badratim, Zayne turut merakam muzik video lagu ini yang menjalani penggambaran di Cameron Highlands.

"Kami berharap muzik video ini mendapat sambutan yang baik daripada semua peminat dan dapat menimbulkan kerinduan serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.

"Syukur walaupun baharu dilancarkan minggu lalu, muzik video Ya Badratim di saluran YouTube Inteam Digital sudah berjaya mencecah lebih 100,000 tontonan," katanya.

Zayne berasal daripada perkataan Arab bermaksud perhiasan yang indah sebelum ini pernah terbabit dalam projek rakaman semula beberapa lagu seperti lagu Man Ana menampilkan Rahim Inteam, Iktiraf menampilkan Lah Ahmad dan beberapa lagu lagi yang diberi nafas baharu.

"Lagu-lagu terbabit dimuat naik di saluran YouTube Inteam Digital dan mendapat jumlah tontonan yang sangat baik.

Sementara itu, single Ya Badratim boleh didengari melalui saluran penstriman digital seperti YouTube, Spotify, Deezer, Apple Music, KKbox dan lain-lain.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:15am
d