rap

Kak Kek 'kepoh' ada isi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"TAK sangka orang boleh terima dan suka cerita serta watak ini," kata pelakon Catriona Ross yang semakin menempa populariti menerusi program Kak Kek Ke Kelate.

Dalam program travelog itu, Catriona yang berpenampilan seperti wanita pertengahan usia 40-an dengan agak 'kepoh' mencuba menu masakan di kedai sekitar Kelantan.

"Tayangan program ini bermula sejak 20 Oktober lalu setiap Selasa jam 9.30 malam di saluran Naura. Watak Kak Kek adalah seorang wanita yang sedikit berusia dari Patani yang saya reka sendiri waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Memandangkan semua orang duduk rumah dan ada lebih masa layan media sosial, saya cuba ambil inisiatif untuk berikan nasihat kepada masyarakat berkenaan pelbagai perkara dan letakkan #kakkekdaripatani," katanya.

Catriona, 40, atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross mengakui tidak menyangka watak itu menarik perhatian Astro.

"Mereka hubungi dan kata berminat nak buat program dari watak ini. Saya kata boleh tapi saya sendiri kena jadi Kak Kek. Persetujuan dicapai untuk buat satu travelog berkenaan dengan lawatan ke Kelantan dan cuba masakan atau makanan popular di sana.

Alhamdulillah, kami berjaya siapkan lapan episod untuk musim pertama. Mudah-mudahan peminat suka dan terus beri sambutan," katanya.

Menurutnya, sejak tiga episod bersiaran, jumlah pengikutnya di Instagram bertambah lebih 100,000.

"Memang peminat suka sangat watak Kak Kek kerana dekat di hati mereka. Namun watak sebenar saya tidaklah kecoh macam Kak Kek. Saya mungkin sedikit pemalu, sedikit lemah lembut dan sopan. Sekarang pengikut saya suka dengan watak terbabit.

"Sebelum ini mereka kenal saya sebagai Catriona Ross sahaja dan tengok lakonan saya di TV yang sangat berlainan daripada Kak Kek. Mereka gembira tengok sisi lain saya. Tak sangka pula saya boleh buat watak komedi," katanya.

Ditanya sekiranya ditawarkan berlakon watak komedi selepas ini, Catriona berkata, dia sedia menerimanya.

"Boleh sahaja kerana sebagai pelakon kita memang kena bawakan apa sahaja watak ikut karakter yang dikehendaki penerbit. Sekarang pun dah ada tawaran watak begitu. Hujung bulan ini saya akan berlakon telefilem Kuba Guling Karipap Pusing terbitan Pena Creative Pictures.

"Saya kena bercakap dalam dialek Kelantan. Selain itu saya juga akan terbabit dengan satu projek komedi lain. Alhamdulillah nampaknya ada cabang berbeza juga selain berlakon cerita air mata sahaja," katanya yang pernah membintangi drama genre komedi berjudul Mek Salmah Dari Scotland pada 2005.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:49am
d