rap

Shira terkejut, ingatkan bunyi bom dan tanah runtuh

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah yang sebelum ini terkejut dengan fenomena hujan batu di kediamannya di Taman Melawati pada hujung Oktober lalu, pagi tadi dikejutkan pula dengan peristiwa helikopter terhempas berdekatan kediamannya.

Dia yang berada di dalam bilik di rumahnya mengakui terkejut apabila mendengar letupan seakan bunyi bom sekitar tengahari tadi.

"Bunyinya sangat kuat. Letupannya, seolah-olah orang bom bukit. Bunyi itu jarang saya dengar dan bunyinya seperti tanah runtuh.

"Saya tunggu dan perhati juga kat bukit sebab biasanya hujan-hujan begini tanah runtuh. 

"Tapi saya tengok tiada apa-apa yang berlaku. Akhirnya, seorang  jiran hantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp beritahu helikopter terhempas dan baru saya tahu perkara sebenar," katanya kepada Harian Metro.

Sharifah Shahirah yang mesra disapa Shira berkata, biarpun jarak kejadian dengan kediamannya sekitar 300 hingga 400 meter, mereka tidak pergi melihatnya secara dekat. 

"Saya tanya suami (Ijoy) sekiranya nak pergi tengok, tapi dia tak mahu. Dia pun tak suka tengok kejadian begitu.

"Apapun, kami ucapkan takziah pada keluarga mangsa. Kejadian ini sangat menyayat hati dan saya simpati dengan keluarga mereka," katanya .

Dalam kejadian hari ini, satu jelikopter terhempas manakala satu lagi membuat pendaratan cemas di Taman Melawati, Ampang.

Kejadian itu tular di media sosial seperti Facebook dan Twitter selain perkongsian di WhatsApp menyaksikan foto dan video kemalangan yang disebarkan.

Dua mangsa dilaporkan maut dalam nahas yang dipercayai berlaku sekitar 11 pagi itu. 

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 4:58pm
d