rap

Netizen salah faham tujuan Adi Putra?

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Adi Putra tidak menafikan timbul salah faham dalam kalangan netizen selepas dia memuat naik satu hantaran di Instagram (IG), berkongsi mengenai harga tinggi yang dikenakannya apabila menerima tawaran berlakon.

Menurutnya, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan dia sendiri punya matlamat yang tersendiri.

"Saya tak nafikan, netizen di media sosial ada pendapat berbeza mereka. Untuk letakkan harga tinggi atau apa, itu hak masing-masing dan secara tak langsung, saya nak wujudkan kesedaran kepada orang ramai untuk turut sama membantu orang lain.

"Tapi kesimpulannya adalah, bila dah masuk bulan November ini, jumlah orang yang hidup susah semakin meningkat dalam tempoh krisis Covid-19 ini dan niat saya adalah untuk membantu," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Adi, dia juga ada memuat naik satu lagi hantaran di platform sama selepas kenyataan pertamanya disalah erti.

"Selepas muat naik hantaran pertama, saya ada muat naik hantaran kedua menjelaskan tujuan saya iaitu untuk menyalurkan 100 peratus bayaran yang diterima itu kepada mereka yang memerlukan dan terkesan," katanya.

Tambah pelakon yang berasal dari Singapura itu, dia juga sudah memulakan kerja-kerja memberi sumbangan sejak Mac lalu, namun tidak digembar-gemburkan.

"Saya dah mulakan kerja-kerja ini sejak Mac lagi, dengan kerjasama beberapa organisasi serta rakan-rakan. Antara yang menerima bantuan adalah barisan hadapan dan rakyat.

"Ada yang memerlukan bantuan dalam bentuk wang tunai dan ada juga yang perlu bantuan dalam bentuk barangan kegunaan harian. Semuanya, kami cuba usahakan sedaya mungkin untuk membantu.

"Cuma, saya tak banyak kongsikan mengenai aktiviti-aktiviti ini kerana kalau digembar-gemburkan dibimbangi akan timbul salah faham pula," katanya.

Kata Adi, setiap hari dia menerima lebih 2,000 mesej di IG daripada individu-individu yang memerlukan bantuan, bukan sahaja dari Lembah Klang, tetapi bantuan turut disalurkan kepada penduduk di beberapa negeri di seluruh Malaysia.

 

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 8:48pm
d