rap

Yuna hanya akan kembali ke AS tahun depan

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna terus berada di tanah air sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu dan belum merancang untuk kembali ke Los Angeles. 

Yuna berkata, dia akan kembali ke AS sebaik situasi Covid-19 kembali reda di negara terbabit.

"Sebenarnya saya sudah berada di sini sejak Mac lalu. Kebetulan saya pulang ke tanah air untuk urusan kerja bersama suami, tapi tak sangka pula tiba-tiba PKP dilaksanakan.

"Namun, saya okey saja kerana sekurang-kurangnya dapat luangkan masa bersama keluarga. Saya mungkin akan kembali ke AS selepas keadaan sudah semakin pulih. Lagipun jumlah kes positif Covid-19 di sana sekarang ini makin meningkat. Tunggulah bila masa betul-betul sesuai. Mungkin tahun depan baru saya ke Los Angeles semula," katanya. 

Menurut Yuna, walaupun aktiviti seninya sedikit terbantut apabila masih berada di sini, namun dia bersyukur dapat menyiapkan beberapa buah lagu.   

"Sekarang ini semua aktiviti seni membabitkan artis di AS dan Malaysia terkesan dengan pandemik ini. Namun, saya bersyukur masih lagi dapat menghasilkan beberapa lagu dan proses rakaman dilakukan di rumah ketika PKP.

"Sepanjang berada di rumah juga saya melakukan perbincangan dengan produser di AS melalui aplikasi mesyuarat maya. Walaupun ada banyak halangan tapi kalau saya berada di sana sekarang ini pun proses terbabit bukan mudah jika melihat keadaan di negara itu berbanding di Malaysia, kita lebih stabil," katanya. 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 4:57pm
    d