rap

Empat Dara 2020 meletup

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Dalam tempoh 24 jam dimuat naik di YouTube, video lagu Empat Dara 2020 nyanyian Elly Mazlein, Faizal Tahir dan Zizi Kirana menjadi 'trending' nombor satu di platform YouTube Malaysia.

Dalam tempoh itu, ia mencatat 863,000 tontonan dan lebih 4,500 komen di mana rata-rata penonton terhibur dengan gandingan mereka berikutan gabungan melodi dan lirik sangat unik dipersembahkan.

Mengulas penghasilan lagu Empat Dara 2020, ia umpama Faizal dan Zizi sudah sedia menyahut cabaran daripada Elly sebelum ini.

Elly berkata, dia sebenarnya tidak menyangka cabaran yang dibuat untuk netizen menyanyikan semula lagu terbabit mengikut versinya menjadi tular dan berjaya menarik perhatian ramai termasuk rakan selebriti.

"Tak sangka ia mendapat perhatian sampai macam itu sekali. Niat saya cuma satu, saya nak buat orang gembira. Bila orang lain gembira, saya turut tumpang gembira." katanya.

Dalam pada itu, Faizal menyifatkatkan kerjasama mereka dan versi terbaru ini umpama menyahut cabaran Elly.

"Dia (Elly) minta masuk, kita masuklah!"," katanya

Bagi Zizi pula, dia tidak menduga turut mendapat tawaran daripada Faizal untuk mereka bertiga saling bekerjasama.

"Faizal hanya beritahu kerjasama ini disifatkan sebagai projek gila-gila dan saya pun tak fikir dua kali untuk menerimanya kerana ada Elly juga," katanya.

Terdahulu, ketika drama Kampung People 2 lakonan Elly ditayangkan di TV3, dia berjaya mencuri perhatian peminat apabila memuat naik sepotong rakaman video menyanyikan lagu Empat Dara di Instagram.

Video itu yang kini sudah mencatat hampir dua juta tontonan dan lebih 200,000 komen turut menarik ramai selebriti popular tanah air menyahut cabaran menyanyikan semula lagu itu dengan cara mereka sendiri.

Lagu Empat Dara adalah karya asal Atan Ahmad dan Ahmad Jusoh, manakala untuk versi terbaharu ini mendapat sentuhan bersama Faizal, Mage, Mike Chan dan Mambang.

Lagu Empat Dara 2020 kini sudah berada di semua pelantar muzik digital yang diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 11:43am
d