rap

Mat Over harap ada rezeki berlakon kembali

Oleh Norzamira Che Noh

KLANG: Pelakon dan pelawak, Mat Over sentiasa bersedia sekiranya ada penerbit yang ingin memberi tawaran berlakon kepadanya.

Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Mat Yasin, 68 berkata, sudah lama dia tidak menerima tawaran berlakon apatah lagi apabila negara kini sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

"Kali terakhir saya mendapat tawaran untuk drama berepisod adalah pada tahun lalu menerusi drama Rindu Yang Terlarang.

"Selepas itu, ada juga tawaran tetapi bukan drama. Saya faham dunia seni baru kembali aktif selepas terhenti beberapa bulan akibat Covid-19 dan berharap selepas ini ada rezeki untuk saya," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi program Finas Prihatin 2.0, di sini, hari ini.

Mat Over berkata, kunjungan daripada Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid membuatnya terharu dan terasa dihargai.

Katanya, kehadiran dan sumbangan itu adalah menunjukkan FINAS mengambil peduli mengenai pelakon lama sepertinya dan rakan-rakan yang lain.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, program FINAS Prihatin 2.0 yangbermula hari ini akan membabitkan 50 penggiat seni veteran yang mana setiap daripada mereka menerima bantuan wang tunai serta keperluan asas.

"Kita memperoleh senarai nama penggiat seni daripada beberapa persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) yang mana kita akan kunjungi dan bertanya khabar mereka.

"Kunjungan kita secara tidak langsung membolehkan orang ramai mengetahui tentang kehidupan mereka malah kita juga memperoleh maklumat baharu mengenai rakan (penggiat seni) mereka yang turut memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata, program berkenaan juga menarik minat beberapa pihak untuk menjadi rakan strategik FINAS antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Felda dan GISB Holdings.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 6:58pm
d