rap

Jiwa Haqiem lebih pada muzik

Oleh Norhayati Nordin

Pembabitan dalam kerjaya seni sejak kanak-kanak kini nampaknya membuahkan hasil lumayan buat penyanyi dan komposer popular, Haqiem Rusli.

Kini pada usia 21 tahun, Haqiem sudah berada dalam liganya sendiri apabila nama dan bakatnya berada di puncak populariti. Begitu juga sokongan padu daripada peminat.

Bersyukur dengan rezeki diperoleh ketika ini, Haqiem berkata, selain mencipta lagu untuk nyanyiannya sendiri, dia juga mendapat banyak permintaan daripada penyanyi lain yang mahukan karyanya.

"Alhamdulillah, syukur kerjaya seni saya masih lancar dalam nyanyian dan penciptaan lagu. Insya-Allah, saya juga akan bekerjasama dengan penerbit, Datuk A Aida. Inilah rezeki dan saya akan berusaha sebaik mungkin. Saya tidak mahu sia-siakan peluang dan akan bekerja bersungguh-sungguh kerana hasil kerja semakin diyakini orang lain," katanya.

Ditanya sama ada akan menceburi bidang lakonan selepas ini, Haqiem berkata, dia belum terfikir memandangkan apa yang disedari jiwanya lebih pada muzik dan penciptaan lagu.

"Kalau nak berlakon, saya tak fikir pun. Memang saya ada juga pengalaman berlakon sebelum ini, tapi minat utama tetap pada muzik dan nyanyian. Jadi, rasanya biarlah saya fokus pada dua bidang ini dahulu.

"Lagipun, ada juga penyanyi lain nakkan lagu saya. Namun, kalau lagu diciptakan itu sesuai dan disukai mereka, saya okey saja untuk memberikannya buat mereka nyanyikan," katanya.

Menurut Haqiem, dia cukup optimis dengan peluang dan juga teliti dalam membuat keputusan.

Baginya, dia tidak mahu terburu-buru dan bersikap terlalu mengejar.

"Saya membuat perancangan dalam kerja. Apa-apa pun, saya amat bersyukur kerjaya nyanyian masih mendapat perhatian. Terima kasih kepada peminat yang banyak menyokong saya.

Malah, untuk tahun hadapan saya sudah merancang muncul dengan beberapa lagu baharu. Harapan saya, semoga apa yang dirancang berjalan lancar," katanya.

Bagi kerjaya nyanyiannya, Haqiem yang muncul dengan single Adlina Marie, turut tampil dengan lagu baharu berjudul Lara secara trio bersama dua sahabatnya, Naim Daniel dan Hael Husaini.

Katanya, dia gembira dua lagu itu sangat mendapat perhatian pendengar. Dalam berkarya, dia sangat mengutamakan kualiti demi memberi kepuasan kepada peminat muzik tempatan.

Sebagai bukti kejayaannya, baru-baru ini Haqiem membeli kereta mewah, Mercedes-Benz GLC 200 sebagai hadiah untuk dirinya sendiri.

Katanya, itu kereta idaman dan berbaloi dimiliki selepas dia bekerja keras selama ini membina kerjaya seni.

Beberapa hari lalu, Haqiem juga berkongsi dia membelikan pula sebuah Proton X70 yang sudah lama diimpikan ibunya, Nazrah Ahmad Nordin.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 6:44am
d